'Terima kasih semua'

Zarina (kiri) ditenangkan wakil PKR, Rahanah Ismail.
Zarina (kiri) ditenangkan wakil PKR, Rahanah Ismail.
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga salah seorang mangsa tembakan di salah sebuah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak terhadap ahli keluarga mereka.

Kakak kepada Mohd Tarmizi Shuib, Zarina Shuib, 53, berkata, mereka sekeluarga berterima kasih atas keprihatinan dipamerkan semua pihak dalam membantu mereka.

Katanya, dia berterima kasih kepada Sinar Harian yang mewujudkan tabung #Sinar4NZMartyrs dan rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan melalui tabung itu.

"Tidak dilupakan, Kerajaan Malaysia, Kerajaan New Zealand, Wisma Putra dan semua pihak yang membantu keluarga mangsa tembakan di sana.

"Kami terharu atas sokongan, bantuan dan sumbangan diberikan bagi memudahkan segala urusan di sana selesai dengan baik," katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Bukit Pinang merangkap Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Dzaher Ahmad berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

"Kami amat berdukacita dengan apa berlaku. Kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan Mohd Tarmizi supaya cepat sembuh dan mengharapkannya agar dapat bersabar dengan kejadian menimpa anaknya," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof menerima sumbangan hampir RM93,000 melalui Tabung Khas #Sinar4NZMartyrs daripada Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan: