Sosma: PDRM guna peruntukan undang-undang sedia ada

Acryl Sani Abdullah Sani
Acryl Sani Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia(PDRM) mengambil maklum serta menerima keputusan Dewan Rakyat yang menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan penahanan bagi kesalahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas 31 Julai depan.

Menurutnya, PDRM mengambil maklum di atas keputusan Dewan Rakyat.

"Keputusan itu bermakna Sosma tidak lagi akan memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu yang ditahan bagi siasatan membabitkan kes keselamatan bersifat kompleks.

"Antaranya kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara), Bab VIA kanun sama (kesalahan berkaitan keganasan), Bab VIB kanun sama (kesalahan jenayah terancang), Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Acryl berkata PDRM akan sentiasa komited dalam menjalankan siasatan.

"PDRM sentiasa kekal komited dengan menggunakan akta sedia ada yang masih berkuat kuasa dalam menjalankan siasatan.

"Bagi kes membabitkan kesalahan Sosma yang disiasat selepas 31 Julai akan menggunakan peruntukan mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, sidang Dewan Rakyat melakar sejarah buat blok pembangkang apabila buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Undian dibuat mengenai usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju.

Proses undi belah bahagi itu juga menyaksikan seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Usul dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.