X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Skuad terjun negara intai sapu bersih lapan pingat emas di Vietnam

Mun Yee
A
A

TUGAS mencabar menanti barisan penerjun negara apabila disasarkan menyapu bersih kesemua lapan pingat emas dipertandingkan, dalam acara terjun pada Sukan Sea Hanoi yang dijadual berlangsung 12-23 Mei ini.

Sasaran itu dikongsikan pembantu jurulatih skuad terjun kebangsaan, Datuk Leong Mun Yee, susulan kejayaan barisan penerjun negara menggondol kesemua empat pingat emas, yang ditawarkan pada edisi 2019 di Filipina.

"Di Vietnam ada acara yang lebih (berbanding edisi 2019) iaitu sebanyak lapan acara, sasaran kita memang untuk dapatkan lapan pingat emas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 di sini.

Mun Yee yang bakal memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pembantu jurulatih pada 1 April ini merasakan daripada lapan acara tersebut, acara 10 meter (m) platform seirama wanita paling dilihat tidak berdepan masalah, menghadiahkan kilauan emas.

Bekas atlet terjun negara berusia 37 tahun itu yang mengumumkan persaraannya hujung tahun lepas pada masa sama berkata setakat ini, persediaan pasukan negara menjelang temasya dwitahunan itu berjalan lancar.

Lapan acara dipertandingkan pada Sukan Sea Hanoi adalah 10m platform seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1m papan anjal individu lelaki dan wanita.

Sementara itu, ASN 2019/2020 yang berlangsung pada Selasa menyaksikan Mun Yee dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong Pamg yang sebelum ini bergandingan dalam acara 10m platform seirama meraih anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan.

Kejayaan manis itu membakar semangat Pandelela untuk terus berusaha demi melakar banyak lagi keputusan memberangsangkan di peringkat antarabangsa biarpun bakal bergandingan dengan pasangan baharu pascapersaraan Mun Yee.

"Kami (dengan pasangan baharu) sudah mula berlatih bersama, setakat ini semuanya bagus walaupun permulaannya agak perlahan, kerana baru dapat berlatih sepenuh masa,” kata Pandelela.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS) Mae Chan memaklumkan penerjun Nur Dhabitah Sabri dan atlet muda Kimberly Bong, adalah dua nama yang sedang dipertimbangkan untuk berpasangan dengan Pandelela.

Gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama bukanlah sesuatu yang baharu, kerana sebelum ini mereka pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada pada 2017. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!