Pelatih AMD dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

Pasukan penyelamat melakukan operasi pencarian di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Muhammad Saiful)
Pasukan penyelamat melakukan operasi pencarian di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Muhammad Saiful)
A
A
A

BALING - Seorang pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 tahun, Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berdekatan rumahnya pada Rabu.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1 petang, dekat Kampung Padang Temu, Batu 48 di sini, ketika mangsa sedang mandi bersama rakan sebelum tiba-tiba hilang.

Mangsa dikatakan sedang bercuti semester dan berada di kampungnya bermula 19 hingga 27 Mac 2022.

Rakan mangsa yang panik segera melakukan pencarian di lokasi kejadian namun gagal menemui mangsa lalu memaklumkan kepada keluarga untuk bantuan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.11 petang berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah kemudian mengarahkan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang remaja lelaki disyaki lemas dalam sungai. Anggota penyelamat di lokasi melakukan 'surface searching' di kawasan dipercayai mangsa jatuh.

"Pada waktu kejadian, hujan masih belum turun namun setibanya pasukan di lokasi kejadian cuaca bertambah buruk dan hujan mulai turun dengan lebat dan paras air sungai mulai meningkat mengakibatkan operasi pencarian menjadi bertambah sukar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah dimaklumkan dan lapor ke lokasi kejadian, pencarian masih dijalankan.