Isu kewarganegaraan: 22 Jun keputusan rayuan kerajaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Jun untuk memberi keputusan berhubung rayuan kerajaan yang memohon untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang mengetuai panel tiga hakim, menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili pihak masing-masing dalam dua kes kewarganegaraan selesai mengemukakan hujahan.

"Kami memerlukan lebih banyak masa untuk berbincang kerana kes ini penting dan melibatkan kepentingan awam,” katanya.

Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S. Nantha Balan mendengar dua kes rayuan iaitu melibatkan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing serta satu lagi kes melibatkan seorang wanita yang lahir di luar negara yang ibunya adalah warga Malaysia.

Bagi kes pertama, kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 yang mengiktiraf anak kepada ibu Malaysia yang dilahirkan di luar negara mempunyai hak automatik menjadi rakyat Malaysia.

Bagi kes kedua, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, yang dilahirkan di India oleh ibu warganegara Malaysia dan bapanya rakyat India, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 yang menolak samannya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan dalam kes pertama berhujah bahawa anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing tidak boleh diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mereka mendapatkan kewarganegaraan adalah dengan memohon kepada JPN untuk didaftarkan sebagai warganegara Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah menulis semula Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak itu.

Katanya, penggunaan perkataan ‘bapa’ dalam seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan adalah disengajakan dan tidak menyatakan ‘ibu’, sambil menambah bahawa peruntukan tersebut tidak bersifat diskriminasi.

Seksyen itu menyatakan bahawa sesiapa yang dilahirkan di luar negara yang bapanya merupakan rakyat Malaysia, dianggap sebagai warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.

Dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir untuk membenarkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang, beliau telah memutuskan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam seksyen 1(b) mestilah dibaca termasuk ibu.

Beliau juga memutuskan Perkara 14(1)(b) bersama Seksyen 1(b) Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berasaskan jantina.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Family Frontiers dan enam wanita itu, berhujah bahawa tafsiran peruntukan kewarganegaraan tidak boleh mendiskriminasi seseorang yang dilahirkan di luar negara semata-mata kerana dia dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia dan bukan kepada bapa warganegara Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan amalan dan tafsiran undang-undang, anak yang lahir di luar negara yang bapanya adalah rakyat Malaysia dan berkahwin dengan wanita warga asing berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik tetapi anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan suami warga asing tidak berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Gurdial Singh berhujah tafsiran undang-undang dan prosedur serta amalan yang diterima pakai adalah bersifat diskriminasi dan melanggar hak perlembagaan anak guamnya di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam saman itu, antara lain ibu-ibu itu memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mahkamah juga mendengar hujah oleh peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Mahisha dan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi mewakili ketua pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia. - Bernama