Sila log masuk terlebih dahulu.

Beri peluang kepada Zii Jia bukti kemampuan

Lee Zii Jia (Gambar file) -Foto: AFP
Lee Zii Jia (Gambar file) -Foto: AFP
A
A
A

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia harus diberi peluang dan ruang bagi membuktikan kemampuan dirinya selepas membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tampil secara profesional pada awal tahun ini.

Sejak beberapa hari lalu, sudah kedengaran kritikan dan kecaman daripada peminat sukan badminton negara terhadap Zii Jia susulan kegagalannya mempertahankan kejuaraan Seluruh England 2022 pada minggu lalu.

Malah, ada yang mendakwa Zii Jia yang kini menghuni ranking ketujuh dunia mula ‘tergelincir' dari landasan sebenar dan tidak akan mampu bertahan sebagai pemain berstatus profesional dalam tempoh yang lama.

Itu antara telahan awal peminat dan pemerhati sukan badminton tanah air bersandarkan kepada prestasi Zii Jia dalam dua kejohanan yang berlangsung sepanjang bulan ini - Terbuka Jerman di Muelheim dan Seluruh England di Birmingham.

Untuk rekod, langkah pemain berusia 23 tahun itu terhenti di peringkat separuh akhir dalam kedua-dua kejohanan tersebut. Di Muelheim, Zii Jia dikejutkan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn sebelum tumbang di tangan sensasi India, Lakshya Sen di Birmingham.

Situasi itu jelas meresahkan peminat sukan badminton memandangkan Zii Jia terpaksa akur kepada pemain yang menghuni ranking lebih rendah daripadanya. Lebih menggusarkan, kedua-dua pemain itu muda tiga tahun berbanding Zii Jia.

Jika diikutkan, Zii Jia antara pemain muda yang mula mendapat perhatian dunia susulan kejayaannya menjuarai Seluruh England di Birmingham tahun lalu selepas membenam cabaran pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pentas final.

Namun, keputusan Zii Jia bergerak secara profesional mula menimbulkan tanda tanya terhadap perjalanan kariernya. Terbuka Jerman 2022 dan Seluruh England 2022 memberikan signal awal betapa langkah Zii Jia semakin dipersoal peminat badminton negara.

Artikel Berkaitan:

Apa sekalipun telahan peminat mahupun pemerhati badminton negara, masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap prestasi Zii Jia sejak beliau bergelar pemain profesional. Harus diingat, perjalanan Zii Jia masih jauh dalam meniti puncak kemasyhuran.