X

Kindly register in order to view this article
!

'Hariz belum tahu abang terkorban'

Zarina (tiga, kiri) menerima kunjungan wakil Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena dan MPKK DUN Bukit Pinang.
A
A
ALOR SETAR - Muhammad Hariz Mohd Tarmizi, 12, adik kepada Muhammad Haziq,17, yang disahkan meninggal dunia selepas insiden tembakan rambang di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand Jumaat lalu, masih belum mengetahui kematian abangnya.

Ibu saudaranya, Zarina Shuib, 53, berkata, Muhammad Hariz dipercayai masih belum mengetahui tentang kematian abangnya dalam serangan berdarah itu.

Menurutnya, Hariz turut berada di masjid berkenaan menemani bapa mereka, Mohd Tarmizi Shuib, 42, untuk menunaikan solat Jumaat ketika diserang.

"Ketika kejadian, adik (Tarmizi) dan dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat. Adik cedera ditembak, Hariz dapat melarikan diri dan Haziq tidak ditemui ketika itu.

"Jadi, Hariz masih trauma dengan kejadian dengan yang berlaku. Jadi, ahli keluarga mungkin mahu merahsiakan perkara itu dahulu supaya dia tidak terkejut," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, hanya kakak kepada Allahyarham Haziq mengetahui berita kematian adiknya.

Katanya, keluarganya di New Zealand mungkin enggan memberitahu Hariz buat masa ini berkaitan keadaan abangnya dan menunggu sehingga dia pulih dahulu.

Zarina berkata, dia dimaklumkan jenazah anak saudaranya selamat disemadikan di tanah perkuburan di Christhurch kira-kira jam 2.30 petang (waktu tempatan).

"Majlis pengebumian arwah Haziq diiringi bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan abang bapa saudaranya, Zakaria Shuib, 55, manakala ibu dan adik beradik lain dimaklumkan tidak dibenarkan ke kawasan perkuburan.

"Keadaan Tarmizi makin baik dan dia sudah boleh jalan sikit-sikat. Namun, mungkin abang kami bawa kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya," katanya.

Terdahulu, Zarina menerima kunjungan wakil Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena dan kira-kira 50 ahli jawatan kuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Bukit Pinang yang membacakan doa tahlil buat Allahyarham Muhammad Haziq.

Turut hadir, Penyelaras DUN Bukit Pinang, Dzaher Ahmad dan Penghulu Hutan Kampung, Azhan Ahmad.

Ahli Jawatankuasa MPKK DUN Bukit Pinang membacakan doa tahlil buat Allahyarham Muhammad Haziq.
Ahli Jawatankuasa MPKK DUN Bukit Pinang membacakan doa tahlil buat Allahyarham Muhammad Haziq.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!