Kerajaan negeri nafi sungai di Selangor berisiko tercemar

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Sumber air dan air sungai di Selangor mampu dirawat di kesemua 34 loji rawatan air (LRA) negeri dengan mematuhi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagihkan kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa memberi tumpuan dalam aspek kawalan pencemaran dan pemuliharaan kualiti sumber air bagi memastikan sumber air di negeri ini sentiasa bersih dan selamat digunakan.

"Selain daripada kawalan berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), aktiviti-aktiviti tidak tertakluk kepada akta berkaitan sumber air ini seperti pelepasan bahan pencemar daripada aktiviti berjadual termasuk aktiviti pengorekan dan pencucian pasir akan dikawal melalui Peraturan Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013 dan Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2012 yang mana kawalan melalui pematuhan syarat-syarat Kebenaran Bertulis/Lesen oleh pihak LUAS," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan media tempatan mengenai Sungai Selangor dan Sungai Langat yang berdepan risiko tercemar dan mengandungi bahan kimia pada Isnin dan Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, status Indeks Kualiti Air (IKA) sungai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga 1 Mac 2022 menunjukkan secara keseluruhannya Indeks Kualiti Air (IKA) adalah bersih di lembangan Sungai Selangor (IKA: 86); Sungai Langat (IKA: 91); Sungai Tengi (IKA: 87) dan Sungai Bernam (IKA: 93) manakala lembangan-lembangan sungai lain negeri berada di tahap sederhana tercemar dengan IKA di antara 62 ke 78.

Katanya, dalam usaha untuk memperkasakan lagi kawalan lebih menyeluruh, LUAS sedang mengkaji bagi menambahbaik pematuhan aktiviti-aktiviti secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pelepasan efluen dan seterusnya memberi impak kepada kualiti sungai melalui pindaan kedua-dua peraturan tersebut.

"Keperluan pematuhan terhadap kedua-dua peraturan ini sedang diperluaskan kepada semua aktiviti pembangunan di dalam negeri yang melibatkan semua lembangan sungai sama ada berdekatan atau jauh daripada sumber air.

"Keperluan ini mengambil kira kawalan dan impak terhadap sumber air selaras pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM) secara holistik.

Artikel Berkaitan:

"Bersama-sama dengan pindaan Peraturan tersebut, LUAS juga sedang menggerakkan inisiatif pemuliharaan sumber air dan pengawalan pencemaran daripada sumber atau punca melalui dasar 'Polluters Pay Principle dan Zero Discharge Policy'," katanya.

Beliau berkata, polisi itu adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar daripada aspek pengurusan air sisa termasuk 'grey water' dari kawasan komersial dan aktiviti perbandaran.

Menurutnya, dalam jangka masa panjang, pelaksanaan kedua-dua polisi itu dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya dengan meminimumkan kuantiti pelepasan efluen atau beban pencemaran dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi.

Di samping itu, beliau berkata, polisi itu juga menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau (green technology) seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi.

"Tidak dinafikan pencemaran sumber air boleh berlaku pada waktu-waktu yang tidak dijangka. Justeru dengan penubuhan Skuad Pantas LUAS bermula pada 1 Disember 2020 berjaya mengekang jumlah isu kecemasan pencemaran sungai daripada terus meningkat," katanya.

Malah beliau berkata, berdasarkan rekod pemantauan tahun 2021, henti tugas LRA akibat daripada isu kecemasan pencemaran sumber air (kod merah) berjaya dikurangkan dengan hanya dua isu sahaja di Sungai Semenyih pada tahun lalu berbanding 11 isu henti tugas LRA pada tahun 2020 yang kebanyakannya melibatkan isu pencemaran bau dalam air mentah menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

"LUAS juga berjaya menangani dengan memastikan langkah kawalan dan pencegahan segera dilaksanakan di tapak bagi mengelakkan henti tugas LRA iaitu sebanyak 22 isu (Kod Kuning) pada tahun lalu.

"Skuad ini melaksanakan pemantauan 24 jam di kawasan-kawasan sensitif dan strategik sumber air yang telah dikenal pasti secara rondaan dan statik bagi tindakan pensampelan, kawalan dan langkah pencegahan segera," katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu juga adalah kesinambungan kepada Operasi Bersepadu Sumber Air Negeri Selangor (Ops Sumber Air) dimulakan pada tahun 2020 bersama agensi-agensi berkaitan.

"Antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor dan Indah Water Konsortium (IWK)," katanya.

Dalam masa sama, katanya, pemerkasaan pelaksanaan pemantauan lembangan sungai dengan penggunaan dron berteknologi tinggi juga dilaksanakan di kawasan berisiko secara berkala.

Di samping itu, katanya, kerajaan Selangor melalui inisiatif Skim Jaminan Air Mentah Negeri Selangor (SJAM) juga sedang melaksanakan projek pemuliharaan kualiti air di Sg Gong dengan kaedah bioremediation iaitu rawatan secara biologikal dan akan direplikasi di sungai-sungai lain negeri bagi tujuan meningkatkan kualiti air sungai.

"Selaras dengan perkembangan teknologi IOTs pihak LUAS juga akan menambah bilangan stesen pemantauan telemetri kualiti air di kawasan berisiko sebagai sistem amaran awal jika berlakunya pencemaran bagi tujuan kawalan segera di tapak dan mengelakkan gangguan kepada operasi LRA," katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor juga tidak akan berkompromi dengan mana- mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil.

"Ia selaras dengan pemerkasaan Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 yang juga telah memberikan fokus utama kepada 'Larangan Pencemaran Sesuatu Sumber Air' di bawah seksyen 79(4) jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM 200 ribu sehingga maksimum RM 1 juta dan penjara tidak melebihi tiga (3) tahun," katanya.

Justeru, kerajaan Selangor dan LUAS menyeru semua pihak agar prihatin terhadap aktiviti berpotensi menyumbang kepada pencemaran sungai melaporkannya kepada LUAS untuk diambil tindakan.