JBPM siap sedia hadapi pembukaan sempadan

Mohammad Hamdan melakukan pemeriksaan pasukan sempena Konvensyen Konvensyen Pasukan Khas dan majlis Pentauliahan Subject Matter Expert, Expert dan Advisor, pada Rabu.
Mohammad Hamdan melakukan pemeriksaan pasukan sempena Konvensyen Konvensyen Pasukan Khas dan majlis Pentauliahan Subject Matter Expert, Expert dan Advisor, pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada dalam keadaan bersiap sedia sempena pembukaan sempadan negara pada 1 April depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, tugas-tugas pengawasan dan sanitasi awam akan diteruskan sekiranya diperlukan.

"Kita percaya penugasan ini akan meningkat kerana pergerakan orang ramai yang turut meningkat," katanya.

Menurutnya, JBPM turut memberi tumpuan penugasan di kawasan tumpuan ramai, lokasi pelancongan dan sebagainya.

"Kita jangkakan panggilan kecemasan akan meningkat berbanding tahun lalu, lebih 144,000 panggilan diterima," katanya.

Beliau berkata, JBPM setakat ini tidak membekukan cuti pegawai dan anggota bagi pembukaan sempadan negara.

"Bagaimanapun cuti pegawai dan anggota akan disemak sekiranya berlaku pembakaran hutan yang kritikal," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Konvensyen Pasukan Khas dan majlis Pentauliahan Subject Matter Expert, Expert dan Advisor di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Kebombaan, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Timbalan Pengarah Operasi Bomba, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 79 pegawai daripada lima pasukan khas jabatan iaitu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), Unit Bermotor Bomba (RIM) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) ditauliahkan.

Pada konvensyen itu, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan merangkumi ucaptama, kertas strategik dan taktikal serta 17 kertas kerja akademik disampaikan oleh pakar-pakar berkaitan.

Pada perkembangan sama, Mohammad Hamdan berkata, JBPM akan menghantar empat pegawainya ke Jepun dan Amerika Syarikat bagi menghadiri kursus dan kepakaran.

"Mereka akan berlepas selepas pembukaan sempadan 1 April ini untuk membawa kepakaran ke dalam negara," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak perancangan jabatan bagi memastikan pegawai dan petugas pasukan khas menyertai kursus dan mengikuti kepakaran teknologi terkini seiring dengan perkembangan semasa.

"Selain itu kita juga memanggil pakar-pakar dari luar negara untuk mengajar di sini," katanya.