Solat jemaah di Negeri Sembilan ikut aturan sejadah saiz besar: MB

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang mulai 1 April ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain menjaga penjarakan fizikal satu meter, jemaah yang dibenarkan masuk ke masjid dan surau adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak, warga tempatan dan bukan warganegara serta penduduk tetap yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19.

"Jemaah yang hadir juga perlu memastikan dalam keadaan sihat, tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya. Jemaah tidak dibenarkan untuk bersalaman atau melagakan penumbuk.

"Satu sejadah hanya untuk seorang sahaja, jemaah boleh rapatkan sejadah tapi tidak boleh berkongsi dalam keadaan pandemik ini, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri, pakai pelitup muka dan imbas Mysejahtera,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, bagi aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliyah atau ceramah, qiamullail, tadarus, iktikaf serta program komuniti seperti penyampaian bantuan majlis berbuka puasa turut dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal.

Selain itu takbir hari raya di masjid, surau dan takbir dari rumah ke rumah juga dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata, aktiviti sosial seperti kenduri kahwin, majlis sambutan hari kebesaran Islam, program komuniti seperti gotong-royong turut dibenarkan dengan segala SOP terperinci boleh disemak di laman sesawang www.jheains.gov.my.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri, Ismail Sabri Yaakob dilapor mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ mulai 1 April ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, seramai 11 keluarga Orang Asli suku Temuan dari Kampung Pelebar, Labu di sini menerima pembayaran ex-gratia (sagu hati) daripada syarikat pemaju perumahan, Matrix Concept keseluruhan berjumlah RM840,000.

Pembayaran berkenaan sebagai penyelesaian kepada tuntutan tanah oleh 11 keluarga berkenaan sejak 2017 walaupun keputusan mahkamah memihak kepada Matrix Concepts. - Bernama