Tidak sempat jual tanduk rusa

Perhilitan merampas sembilan tanduk rusa bernilai kira-kira RM15,000 susulan penahanan seorang lelaki di Shah Alam, Selangor pada 16 Mac lalu.
Perhilitan merampas sembilan tanduk rusa bernilai kira-kira RM15,000 susulan penahanan seorang lelaki di Shah Alam, Selangor pada 16 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat seorang bekas penjawat awam untuk mengaut untung memperdagangkan tanduk rusa di pasaran gelap memakan diri selepas diberkas di sekitar daerah ini, pada 16 Mac lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) melibatkan sepasukan anggota Perhilitan bersama polis itu berjaya menahan suspek lelaki kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, operasi itu juga merampas sembilan tanduk rusa dianggarkan bernilai RM15,000 yang disembunyikan dalam sebuah kereta.

"Pemeriksaan terhadap suspek berusia 39 tahun itu gagal mempamerkan dokumen penyimpanan tanduk rusa terbabit.

"Siasatan awal percaya tanduk rusa itu adalah untuk pasaran tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau memberitahu, kesemua tanduk rusa yang dirampas itu dibawa ke Pejabat Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tambah Abdul Kadir, pihaknya masih menyiasat untuk mengenal pasti bagaimana bahagian hidupan liar itu diperolehi dan sejak bila suspek terbabit dalam memperdagangkan tanduk rusa.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengingatkan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.