63 syarikat disyaki seleweng subsidi minyak masak RM200 juta

Mohd Nizam (tengah) ketika sidang akhbar, pada Rabu.
Mohd Nizam (tengah) ketika sidang akhbar, pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengesan sebanyak 63 syarikat disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar sebanyak RM200 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, sebanyak 19 syarikat didapati tidak mempunyai fail cukai dan 44 syarikat yang kurang lapor pendapatan.

"Kami telah menjalankan siasatan cukai terhadap 63 syarikat dalam operasi subsidi minyak masak (Op Saji) sejak Isnin hingga hari ini," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Mohd Nizom berkata, hasil pemeriksaan sepanjang Ops Saji itu, pihaknya mendapati ada syarikat menggunakan kuota minyak bersubsidi pihak lain dan menjual minyak tersebut secara haram.

"Syarikat tidak melaporkan penjualan minyak bersubsidi atau menjual minyak bersubsidi kepada orang tengah sebelum minyak tersebut dijual secara haram.

"Syarikat tidak menggunakan sepenuhnya kuota pembungkusan tetapi menuntut bayaran subsidi penuh seperti yang diperuntukkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Mohd Nizom berkata, antara modus operandi penyelewengan subsidi minyak masak adalah syarikat berkenaan mendapatkan bekalan bersubsidi daripada syarikat pembekal dengan menggunakan lesen lain untuk dijual pada harga pasaran.

"Selain itu, syarikat berkenaan mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak masak itu ke luar negara untuk dijual dan syarikat menuntut subsidi tetapi tiada sebarang penjualan minyak masak peket," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Op Saji itu dijalankan selepas terdapat beberapa pendedahan mengenai kegiatan penyelewengan berkenaan dan stok minyak masak peket yang semakin berkurangan dalam pasaran.

"Kami menganggarkan sebanyak RM 200 juta cukai mampu dikutip berikutan pelaksanaan operasi ini," katanya.

Beliau berkata, sasaran utama siasatan adalah melibatkan kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi.

"Berdasarkan analisa, kami mendapati wujud elemen pelarian cukai dalam kalangan syarikat yang mendapat subsidi minyak masak yang perlu ditangani segera agar ketirisan hasil kerajaan dapat dibendung," katanya.

Mohd Nizom berkata, antara faktor penyumbang kepada pendapatan terkurang lapor kepada LHDNM adalah kuota subsidi diserahkan kepada pihak ketiga yang mengakibatkan transaksi jualan tidak lengkap dan meragukan.

"Kuota subsidi telah diberikan kepada pihak ketiga yang menyebabkan wujudnya jualan minyak masak yang tidak dilaporkan," kata beliau.

Mohd Nizom memaklumkan, sekiranya pembayar cukai didapati gagal melaporkan dengan betul jumlah pendapatan, ia merupakan kesalahan tertakluk di bawah Seksyen 112(3) dan 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967.