500 penduduk Angkek, Podek terjejas

Mayarakat orang asli bimbang dan lakukan bantahan aktiviti pembalakan.
Mayarakat orang asli bimbang dan lakukan bantahan aktiviti pembalakan.
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 500 penduduk orang asli Kampung Podek dan Kampung Angkek bimbang apabila aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran penempatan mereka menjejaskan sumber harian terutamanya bekalan air.

Difahamkan, kerja-kerja pembalakan ini telah bermula sejak tahun lalu dan berlarutan sehingga kini.

Penghulu kampung, Damak Angah berkata, pihaknya telah menghantar surat bantahan kepada pihak berkuasa pada tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun, sehingga kini, tiada tindakan mahupun maklum balas berhubung perkara tersebut.

DAMAK ANGAH
DAMAK ANGAH

"Semakin dibiarkan, ini akan memberi kemusnahan kepada kawasan perkampungan kami termasuk kawasan memburu, kawasan memancing, kubur lama serta sungai.

"Jadi, kami tampil dengan himpunan secara aman bagi menyatakan pendirian kami yang mana komuniti orang asli membantah aktiviti pembalakan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam himpunan itu, seramai 50 penduduk berkumpul di tapak rumah kongsi pekerja syarikat pembalakan dengan mempamerkan kertas bertulis yang menggesa kerajaan negeri supaya menarik balik lesen pembalakan di kawasan tersebut.

Aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran.
Aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran.

Sementara itu, penduduk kampung, Nora Kantin, 32, berkata, sekiranya kerja-kerja pembalakan tidak dihentikan, mereka akan membina sekatan di kawasan terbabit.

"Kami membantah aktiviti ini kerana ia memberi kesan kepada kehidupan kami apatah lagi, kami masih bergantung sepenuhnya dari sumber air Sungai Pog.

"Kami pernah membuat sekatan di Cawas dan sekiranya kerja-kerja ini masih berterusan, kita akan bina sekatan buat kali pertama di Angkek dan Podek," katanya.

Penduduk mahu aktiviti dihentikan.
Penduduk mahu aktiviti dihentikan.