Semak semula deskripsi tugas penjawat awam elak rasuah

Mohd Shafiq Abdullah
Mohd Shafiq Abdullah
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersedia untuk menyemak semula deskripsi tugas penjawat awam dalam usaha mengurangkan punca rasuah dan salah laku yang membelenggu perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, pekeliling- pekeliling yang dikuatkuasakan juga perlu diubah selepas ada dilihat tidak lagi relevan dengan situasi semasa.

"Kita semak dan kurangkan punca berlakunya rasuah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, nilai integriti terbaik juga perlu diwujudkan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana rasuah bukan berlaku dalam keadaan terasing.

"Ia mesti berlaku dalam konteks masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata, rakyat negara Eropah dan Scandinavia sangat menghormati peraturan dan undang-undang sehingga kesalahan dapat mengurangkan kes rasuah.

"Ini yang kita cuba melihat apakah cara terbaik untuk mendidik rakyat menyegar semula nilai-nilai integriti dalam kalangan penjawat awam," katanya.

Mohd Shafiq berkata, sejumlah 525 penjawat awam dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan 300 daripadanya disabitkan dengan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 480 penjawat awam yang dituduh di mahkamah dan 190 disabitkan kesalahan.

"Tangkapan penjawat awam bagi kes rasuah juga meningkat sebanyak 32.14 peratus pada Februari lalu berbanding Januari, 26.42 peratus," katanya.

Menurutnya, trend yang menunjukkan peningkatan itu juga mencerminkan kecekapan agensi penguatkuasaan dalam memerangi isu rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan pemakaian kamera badan bagi agensi penguat kuasa, beliau berkata, perkara itu memerlukan kajian teliti terutama dari segi kos dan peraturan yang boleh diguna pakai di mahkamah.

"Kita kena kaji supaya ia dapat dilaksanakan dan sebab itulah kita pergi kepada agensi-agensi penguatkuasaan untuk menilai dan membentangkan satu dasar pada akhirnya," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Mohd Shafiq yang mewakili Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, perkhidmatan awam berada pada tahap yang cukup kritikal bagi menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

"Dalam situasi negara yang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial, para penjawat awam harus bertindak memastikan segala perancangan dan dasar yang telah dibuat dilaksanakan dengan efisien, berintegriti dan selari dengan prinsip tadbir urus baik," katanya.

Beliau berkata, persidangan dua hari itu akan melihat secara terperinci risiko rasuah dan kelemahan tadbir urus dan integriti dalam sektor-sektor yang telah dikenal pasti.

"Ini akan menjadi input signifikan dalam penambahbaikan dasar yang sedang dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

Sebagai contoh, analisa risiko rasuah dan potensi ancaman dalam sektor perhutanan yang dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) berupaya menjadi input penambahbaikan Dasar Perhutanan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Tadbir urus dan pengurusan risiko rasuah oleh Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) boleh menjadi perspektif baharu dan proaktif dalam melaksanakan Dasar Pertahanan Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia," katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.