ASNB tawar diskaun Hibah Amanah, Pengisytiharan Amanah

ASNB
ASNB
A
A
A

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) menawarkan diskaun 50 peratus ke atas bayaran pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah dari 15 Mac hingga 15 Mei, 2019.

ASNB, syarikat pengurusan unit amanah dimiliki sepenuhnya oleh PNB.

Menerusi tawaran diskaun ini, pemegang unit ASNB hanya perlu membayar fi pendaftaran sebanyak RM90 untuk kontrak Hibah Amanah (bagi pemegang unit beragama Islam) atau kontrak Pengisytiharan Amanah (untuk pemegang unit bukan Islam) meliputi semua unit amanah ASNB, daripada fi standard sebanyak RM180 sebelum ini.

"Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah membolehkan pemegang unit menamakan sehingga 10 pewaris ke atas pelaburan amanah saham mereka.

“Tidak seperti konsep penama yang hanya bertindak sebagai wasi atau pentadbir, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah membolehkan penerima menjadi pewaris mutlak wang pelaburan yang ditinggalkan oleh pemegang unit," kata PNB dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pemegang unit diharapkan dapat mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti penerima pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB bagi memastikan proses tuntutan dapat dilakukan dengan cepat oleh pewaris.

"Tanpa Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah, unit amanah ASNB akan menjadi aset yang diwarisi dan perlu diuruskan melalui saluran yang ditetapkan, termasuk keperluan untuk mendapatkan kuasa peguam yang boleh mengambil masa yang lama.

"Dengan kedua-duanya, proses tuntutan dipermudahkan, tuntutan boleh diserahkan dalam tempoh kira-kira 21 hari mulai tarikh tuntutan yang boleh dibuat di mana-mana cawangan ASNB," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: