Tak perlu ragu dengan doktor tempatan

Hospital Tunku Azizah (HTA) mencipta sejarah buat pertama kalinya apabila berjaya melakukan pembedahan untuk memisahkan pasangan kembar siam pramatang berusia 17 hari. - Foto Facebook HTA
Hospital Tunku Azizah (HTA) mencipta sejarah buat pertama kalinya apabila berjaya melakukan pembedahan untuk memisahkan pasangan kembar siam pramatang berusia 17 hari. - Foto Facebook HTA
A
A
A

PADA Sabtu lalu, Deborah Anne Vince, 29, insan paling gembira apabila bayi kembar siam pramatangnya, Daelan Hope Marshall dan Daevyn Hope berjaya dipisahkan.

Lebih membanggakan, pembedahan itu dilakukan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur. Seramai 13 pakar perubatan tempatan diketuai Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr Zakaria Zahari melaksanakan misi penting itu dalam tempoh 66 minit.

Mengikut kenyataan HTA, ia pembedahan ketiga dilakukan untuk pasangan bayi kembar siam. Salah satu yang paling diingati, tentulah pemisahan adik Muaiman Azli dan Muaimin pada Julai 2012. Sebenarnya banyak lagi rekod kecemerlangan yang telah dilakar dan antaranya tidak peroleh publisiti meluas.

Melihat kepada kejayaan terbaharu itu, ia sekali lagi membuktikan kepakaran dimiliki doktor tempatan di hospital kerajaan, malah di pusat perubatan swasta tidak perlu diragui lagi.

Jika selama ini kita beranggapan bahawa terbang jauh di luar negara untuk berjumpa pakar antarabangsa adalah pilihan terbaik, pertimbangkan semula keputusan itu.

Menurut Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), negara ini sebenarnya mempunyai kepakaran unggul dalam banyak bidang seperti pergigian, rawatan kesuburan in-vitro, urologi, gastroenterologi, kardiologi, onkologi, pembedahan plastik dan lain-lain.

Hal itu menjadikan Malaysia dipilih sebagai Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik sebanyak empat kali oleh International Medical Travel Journal di United Kingdom.

Pada 2019 sahaja, seramai 1.3 juta pelancong perubatan mendapatkan khidmat di hospital negara ini. Kata MHTC lagi, pesakit Muslim seperti dari Brunei, Singapura, India dan Indonesia cenderung mendapatkan rawatan perubatan patuh syariah.

Artikel Berkaitan:

Dari segi kos, bayarannya juga jauh lebih murah iaitu kira-kira 40 hingga 80 peratus berbanding di Amerika Syarikat, United Kingdom atau di negara Eropah.

Justeru, tiada apa yang perlu dipertikaikan. Sememangnya, kualiti penjagaan kesihatan Malaysia sudah berkelas dunia dan diyakini, cuma ramai antara kita yang masih tidak sedar.