Berdiam diri melihat rasuah, punca negara tidak maju

Mohd Arshad ketika ditemu bual di Kompleks Karangkraf pada Khamis.
Mohd Arshad ketika ditemu bual di Kompleks Karangkraf pada Khamis.
A
A
A

PERSATUAN Patriot Kebangsaan (PPK) menegaskan bahawa tindakan segelintir masyarakat yang mengambil pendekatan berdiam diri berbanding menegur terhadap gejala rasuah menyebabkan negara tidak dapat maju ke hadapan.

Presiden PPK, Datuk Mohd Arshad Raji berkata, permasalahan tersebut menyebabkan rantaian kepada isu melibatkan korupsi menjadi semakin merosot dan akhirnya gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pelbagai peringkat masyarakat di negara ini semakin berleluasa.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin bersama Mohd Arshad bagi mengupas lebih lanjut mengenai program Lima Teras Utama yang dipelopori oleh PPK baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Apakah yang dimaksudkan dengan Program Lima Teras Utama daripada Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK)?

MOHD ARSHAD: Teras yang telah kami rancangkan ini akan melibatkan bukan sahaja kami sebagai ahli PPK tetapi kami juga hendak membawa perkara ini kepada semua sama ada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain supaya kita dapat pembabitan rakyat jelata dari pada semua peringkat.

Itu yang kami maksudkan dalam teras ini. Ia kerana kalau kita tidak rapat dengan agensi-agensi kerajaan, NGO dan juga rakyat, kita tidak tahu apa yang berlaku. Jadi kita nak dapatkan feedback (maklum balas) daripada mereka tentang apa sebenarnya yang berlaku. Kami juga boleh membantu mereka untuk cuba memperbetulkan apa sahaja kesilapan, kalau mereka sanggup untuk menerima pertolongan daripada kami, jadi itu adalah two way responses (maklum balas dua hala).

- Mengapa PPK hanya menetapkan lima teras utama sebagai objektif pembaharuan hala tuju negara?

Saya menetapkan lima teras kerana itu ikut kemampuan kita. Kita tidak boleh terlalu banyak (menetapkan teras utama) sebab kalau terlalu banyak, ia akan berada di luar dari kemampuan kita. Jadi kita telah kaji dan juga kenal pasti bahawa inilah lima teras berperanan penting dan boleh kita kongsikan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kita ada tempoh masa untuk kita menghabiskan teras-teras utama ini. Sebab itu, jika terlampau banyak kita masukkan teras utama, mungkin kita akan guna lebih banyak tenaga.

Jadi dalam hal itu, saya bimbang kita akan kekurangan tenaga kerja. Itu masalahnya. Oleh itu, kita telah bincang dan putuskan inilah lima teras yang kita akan bawakan.

Mohd Arshad ketika mengupas lebih lanjut mengenai program Lima Teras Utama yang dipelopori oleh PPK, baru-baru ini.
Mohd Arshad ketika mengupas lebih lanjut mengenai program Lima Teras Utama yang dipelopori oleh PPK, baru-baru ini.

- Apakah harapan PPK terhadap objektif program lima teras utama dalam membawa negara ke landasan yang lebih baik?

Harapan kami sebagai PPK supaya rakyat mengakui bahawa negara kita ini betul-betul patut dipulihkan semula dengan apa yang berlaku sebelum-sebelum ini. Kami tidak puas hati sebenarnya dan PPK pun diwujudkan kerana masalah ini.

Saya mewujudkan PPK ini kerana terdapat banyak masalah yang kita ada sekarang serta tidak ada sesiapa pun yang mahu membuat sesuatu ataupun menegur.

Bagi saya, sebagai masyarakat, kita harus menegur sebab ini adalah negara kita. Tiap-tiap kali saya berjumpa dengan orang, saya akan tanya kenapa tidak mahu bersuara. Kalau ada masalah, kenapa tidak bercakap sedangkan ini adalah negara kita? Jadi itu yang saya mampu buat setakat ini.

Selagi saya hidup, saya nak semua rakyat untuk bersuara. Ini adalah tanah lahir kita, kita lahir di sini serta kita mati sini. Jadi ini adalah hak kita. Jangan terlampau terikut-ikut dengan politik. Politik-politik juga. Tetapi nasib rakyat mesti dibela dan saya tidak nampak perkara itu berlaku sebab itulah PPK ini diwujudkan.

Kami amat menggalakkan supaya rakyat bersuara. Pada saya, konsep dia ringkas saja, kalau tidak bersuara, maka tak ke mana negara kita ini.

- Datuk memaklumkan bahawa negara berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Apakah permasalahan utama yang ingin PPK selesaikan terlebih dahulu?

Saya dari dulu lagi sejak bersara daripada tentera, isu utama yang ingin saya tangani sekarang adalah korupsi dalam negara. Saya bernasib baik sebab bertemu dengan Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub. Korupsi adalah masalah sebenar.

Oleh kerana saya daripada askar, saya tidak tahu mengenai perkara ini. Jadi apabila saya bersara, saya melihat bahawa kes melibatkan salah laku rasuah ini terlalu banyak. Jadi itu adalah isu utama yang saya ingin tangani terlebih dahulu. Keduanya, saya inginkan negara supaya memilih pemimpin yang amanah. Pada zaman sekarang ini, mana ada menteri-menteri yang kita lihat boleh diakui amanah.

Kalau tanya saya, satu orang pun saya tak percaya. Bagi saya, semua tidak ada integriti. Tetapi alhamdulillah, sekarang saya dah lihat bahawa ada yang mula bersuara mengenai perkara ini. Ustaz-ustaz pun mula bersuara, membangkitkan kesedaran kepada masyarakat. Dalam khutbah pun mereka menyeru supaya carilah pemimpin yang beramanah, berintegriti dan tidak cenderung rasuah. Saya tidak tahu macam mana pandangan orang lain tetapi saya bersuara dan saya suarakan pandangan untuk dikongsi bersama rakyat.