Objektif Rapid Rail tercapai, prestasi keberhasilan belum optimum

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Objektif penubuhan Rapid Rail Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan rel bandar tercapai yang mana prestasi output melibatkan sasaran petunjuk prestasi utama yang ditetapkan mencapai 91.9 peratus bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun, bagi prestasi keberhasilan, perkhidmatan yang disediakan belum mencapai tahap optimum bagi selang waktu perjalanan pada waktu puncak kerana kekurangan tren, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 Siri 1 yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut laporan itu, pengurusan aktiviti perkhidmatan rel bandar yang meliputi pengurusan hasil operasi rel serta pengurusan infrastruktur dan kemudahan di stesen rel belum mencapai tahap kecekapan yang ditetapkan.

"Secara keseluruhannya amalan tadbir urus korporat berada pada tahap baik, namun memerlukan penambahbaikan bagi lima aspek iaitu lembaga pengarah, setiausaha syarikat, ketua pegawai eksekutif, prosedur operasi standard dan jawatankuasa lembaga pencalonan dan imbuhan.

"Manakala bagi aspek kedudukan kewangan, Rapid Rail berada pada tahap kurang stabil kerana merekodkan kerugian RM144.77 juta dan defisit ekuiti pemilik RM306.38 juta. Kerugian terkumpul adalah RM690.83 juta,” kata laporan itu.

Bagi meningkatkan prestasi aktiviti perkhidmatan rel bandar serta memantapkan tadbir urus korporat, pihak pengurusan dan lembaga pengarah perlu mengambil langkah yang berkesan antaranya memberi pertimbangan dalam menyediakan perkhidmatan rel ke tahap optimum dan mengikut selang waktu yang ditetapkan.

"Selain itu, pelarasan kadar tambang rel wajar dipertimbangkan bagi menampung perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

"Rapid Rail perlu meningkatkan kemahiran pegawai serta pemantauan terutamanya di peringkat operasi agar kesilapan mengakaunkan hasil tidak berulang dan rekod penyelenggaraan sentiasa dikemas kini,” kata laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu turut mengesyorkan pihak yang berkepentingan perlu menyusul dengan lebih berkesan mengenai permohonan pengurangan tarif elektrik bagi memastikan hasil operasi rel dapat menampung perbelanjaan operasi.

"Syarikat juga perlu menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang mematuhi peraturan selain mengisytiharkan landasan rel sebagai kawasan larangan bagi menghalang pencerobohan landasan di semua stesen rel,” tambah laporan itu. - Bernama