Aduan pencemaran alam sekitar menurun di Kedah

Robert
Robert
A
A
A

ALOR SETAR - Aduan berkaitan pencemaran alam sekitar dan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini secara keseluruhan menurun dengan mendadak, khususnya di Sungai Petani bagi tahun ini berbanding dua tahun sebelum itu.

Exco Alam Sekitar, Perpaduan, Perumahan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPU dan aduan alam sekitar pada tahun ini, hanya 48 aduan direkodkan setakat 23 Mac.

Menurutnya, pada tahun 2019, sebanyak 395 aduan dilaporkan, diikuti 497 aduan pada tahun 2020, manakala tahun lalu menurun kepada 215 aduan.

“Untuk tahun ini, hanya satu kompaun dikeluarkan bagi kesalahan pembakaran terbuka di Sungai Petani, iaitu di Kampung Haji Wahab, berbanding dua kompaun tahun lalu di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau dan Tupah,” katanya pada sesi ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Robert memaklumkan, sepanjang tahun ini, sebanyak 109 operasi pencegahan kebakaran dilakukan oleh JAS Sungai Petani.

“Pada tahun 2021, sebanyak 481 operasi telah dijalankan. Secara keseluruhan, ia menunjukkan kerja berpasukan agensi alam sekitar dalam menambah baik kerja di lapangan berhasil,” katanya.

Mengulas mengenai kewujudan kilang kitar semula plastik import di daerah sama, beliau berkata, kilang di kawasan perindustrian Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) terbabit mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) sejak 2018.

“Sewaktu kerajaan meluluskan pemindahan industri plastik ke kawasan perindustrian Bukit Selambau pada 2020, kilang yang beroperasi di Sungai Petani yang mempunyai lesen PBT diberi kelonggaran untuk kekal di tapak sedia ada sehingga kemudahan di Bukit Selambau lengkap,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, pemeriksaan terhadap kilang tersebut pada tahun lalu mendapati terdapat isu berkenaan sistem kawalan pencemaran udara yang mana kilang terbabit telah mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Masih terdapat dua kilang kitar semula plastik di Sungai Petani belum berpindah ke Bukit Selambau, yang mana tempoh dua tahun diberikan untuk berpindah apabila kesemua infrastruktur seperti jalan raya, telekomunikasi dan air di kawasan industri Bukit Selambau siap sepenuhnya,” katanya.