Selangor anjur Earth Hour 2022 kurangkan impak perubahan iklim

Loy Sian
Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan menganjurkan Kempen Earth Hour 2022 pada Sabtu ini sebagai salah satu inisiatif mengurangkan impak perubahan iklim.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, penganjuran kempen tersebut menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar dan merealisasikan agenda negeri berkenaan menangani kesan perubahan iklim.

Menurutnya, Kempen Earth Hour 2022 akan dilaksanakan selama satu jam bermula 8.30 hingga 9.30 malam dengan mematikan lampu elektrik yang fungsinya tidak penting di bangunan-bangunan pejabat, premis-premis perniagaan dan kediaman isi rumah.

"Demi keselamatan orang awam dan pengguna bangunan, hanya lampu-lampu perhiasan, lampu yang tidak digunakan dan alat-alat elektronik yang perlu dipadamkan dan bukan bergelap sepenuhnya.

"Lampu-lampu keselamatan perlu dipasang mengikut keperluan bangunan masing-masing dalam memastikan keselamatan awam di kawasan bangunan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, kerajaan Selangor turut berhasrat untuk menjadikan Kempen Earth Hour sebagai acara tahunan dalam memupuk kesedaran rakyat tentang perubahan iklim dan alam sekitar yang sedang dialami di seluruh dunia.

Ujarnya, kerajaan Selangor juga mengarahkan semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain mengalukan penyertaan sektor swasta serta organisasi lain seperti kilang-kilang, premis perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan parti-parti politik negeri untuk menyertai kempen tersebut.

"Kempen tersebut adalah satu cara untuk menggalakkan masyarakat memikirkan semula tindakan dan cara mereka yang boleh menyumbang kepada pemuliharaan sumber bumi, selain mengurangkan pembebasan karbon daripada sektor pembekalan elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Selangor berharap kempen ini dapat diaplikasikan dan dilaksanakan oleh semua rakyat Selangor bersama-sama dengan masyarakat global dalam usaha untuk menjaga alam sekitar serta mewujudkan dunia yang lebih mampan sekali gus memberikan impak positif kepada perubahan iklim negara," katanya.