RUU anti lompat parti tidak perlu tergesa-gesa dibentangkan

Tuan Ibrahim (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di ibu negara pada Selasa.
Tuan Ibrahim (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di ibu negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti yang termasuk dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk dibentangkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya banyak kelompongan dalam sistem perundangan yang dibuat di negara ini.

“Saya rasa ini perlu diperhalusi di peringkat jawatankuasa perunding. Sebab saya fikir semua pihak harus jelas apa akta yang nak dibentang, apa kelompongan yang ada. Kita kena lengkapkan dahulu.

“Saya fikir sama ada DAP, mana-mana pihak daripada pembangkang perlu duduk bersama untuk diperhalusi dan mana-mana kekurangan perlu dilengkapkan sebelum kita bentang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2021 di ibu negara pada Selasa.

PH sebelum ini memberi amaran untuk membatalkan MoU yang ditandatangani bersama kerajaan sekiranya RUU anti lompat parti tidak dibentangkan seperti yang dijanjikan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula dilapor menyarankan supaya RUU anti lompat parti diperincikan dengan memberikan definisi lebih tepat berhubung terma ‘lompat parti’ sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) mengakui RUU anti lompat parti ini perlu banyak diperhalusi.

“Contohnya katalah seseorang itu menang atas tiket bebas, kemudian dia mahu menyertai mana-mana parti, apakah itu dikategorikan lompat parti sebab dia asalnya tak ada parti.

Artikel Berkaitan:

“Atau lebih kritikal lagi katalah selepas pilihan raya tiba-tiba tak ada satu parti yang boleh menubuhkan kerajaan kerana tak cukup dua atau tiga kerusi. Apakah kita terpaksa buat pilihan raya semula dengan kosnya sekali,” ujarnya.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan turut memberi jaminan bahawa RUU anti lompat parti akan dilaksanakan kerana ia merupakan komitmen bersama pihak pembangkang.

“Kita akan laksanakan cuma perincian itu perlu diperhalusi supaya tidak merugikan mana-mana pihak.

“Sebab manfaat besar ialah kita nak satu sistem politik yang stabil dapat laksanakan di negara kita,” jelasnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyatakan Pas tetap menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) walaupun gabungan itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Bagi Pas kita tidak ada isu,” jelasnya.