Perbicaraan kes SRC International Najib ditangguh

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan pertuduhan jenayah membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, belum dapat diteruskan.

Ini ekoran keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan itu bagi menunggu rayuannya mengenai perkara-perkara interlokutori diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara-perkara itu termasuk permohonan Najib untuk mendapatkan perintah sekatan terhadap media dan orang ramai daripada membincangkan merit kes jenayahnya, akses kepada dokumen siasatan termasuk keterangan saksi di peringkat praperbicaran dan mengenai penarikan balik sijil pemindahan kes oleh Peguam Negara yang ditolak panel hakim awal hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah rayuan tolak tiga daripada empat rayuan Najib

Ketika membenarkan permohonan penangguhan itu, Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof yang mempengerusikan panel tiga hakim itu berkata, terdapat kemungkinan perbicaraan itu diisytiharkan terbatal berikutan terdapat isu-isu baharu di hadapan mahkamah.

Hakim Zabariah juga berkata, tiada taktik untuk melengah-lengahkan perbicaraan dilakukan Najib.

Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu mahkamah bahawa beliau akan menulis surat kepada Ketua Hakim Negara supaya menetapkan tarikh pendengaran rayuan-rayuan itu secepat mungkin.

Hakim Zabariah berkata, mahkamah sedang berusaha untuk menyegerakan perkara itu, dan menambah mereka akan memberikan alasan-alasan perundangan bagi keputusan mereka menjelang minggu depan dan mahkamah juga akan mengarahkan pendaftar mahkamah untuk menyediakan rekod-rekod rayuan.

Artikel Berkaitan:

Turut bersidang bersama-sama beliau ialah hakim-hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan.

Terdahulu, panel hakim itu menolak tiga daripada empat rayuan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Zabariah telah membacakan alasan ringkas keputusannya mengenai perintah sekatan itu dan mengenai akses kepada dokumen-dokumen, manakala Hakim Lau menyampaikan keputusan mengenai pemindahan kes Najib dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi berikutan penarikan balik sijil pemindahan kes oleh Peguam Negara mengikut Seksyen 418 Akta Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Zabariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan kekhilafan dalam keputusannya untuk menolak permohanan Najib bagi mendapatkan satu perintah sekatan.

"Tiada penyalaharahan dalam undang-undang dan fakta dan hakim telah membuat penilaian yang positif atas bukti-bukti yang dikemukakan di hadapannya dan membuat analisis yang berhati-hati mengenai kuasa-kuasa yang dikemukakan,” katanya.

Mengenai pendedahan dokumen-dokumen, Hakim Zabariah berkata, pihak pendakwaan telah mematuhi Seksyen 51 (a) Kanun Tatacara Jenayah mengenai kewajipan untuk mendedahkan dokumen-dokumen untuk praperbicaraan dan Najib tiada hak kepada apa-apa pendedahan lanjut di peringkat ini.

Beliau berkata, dokumen yang diminta Najib itu diperoleh dalam tempoh penyiasatan dan dokumen-dokumen berkenaan adalah dokumen rahsia dan tidak boleh didedahkan.

"Isu mengenai kemungkinan saksi akan diganggu adalah satu alasan lain mengapa keterangan-keterangan dalam penyiasatan tidak boleh didedahkan kepada orang kena tuduh,” kata hakim Zabariah.

Hakim Bee Lan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah memberikan peguam Najib hak untuk didengar sebelum beliau memberikan keputusannya.

Beliau berkata, hakim juga bertindak betul apabila beliau menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes Najib balik ke mahkamahnya untuk beliau menghakimi perbicaraan itu.

Dalam membenarkan permohonan Najib supaya pihak pendakwaan menyerahkan salinan surat lantikan pendakwa ‘ad hoc’ Datuk Sulaiman Abdullah, Hakim Rhodzariah berkata komunikasi profesional antara peguam bela dan kliennya seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 126 Akta Keterangan seperti yang dihujahkan oleh Peguam Negara, tidak terpakai dalam kes ini.

Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia juga didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama

Di luar mahkamah, Ketua Bahagian Pendakwaan Manoj Kurup berkata, mereka akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai surat lantikan Sulaiman itu. - Bernama