Polis terima enam laporan berkaitan Kak Long 7E

Rohaimi (tengah) bersama para pegawai bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa pada Majlis Perjumpaan Ketua Polis Terengganu dengan Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu, pada Selasa. Foto Bernama
Rohaimi (tengah) bersama para pegawai bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa pada Majlis Perjumpaan Ketua Polis Terengganu dengan Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menerima enam laporan terhadap pemilik akaun Facebook atau lebih popular dengan gelaran Kak Long 7E di seluruh negara, setakat ini.

Ia susulan tindakannya yang didakwa menghina dan memperlekehkan nasib Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memuat naik video yang meniru mimik muka golongan tersebut menerusi laman sosialnya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua daripada laporan itu diterima di Selangor manakala satu laporan masing-masing di Terengganu, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Rohaimi berkata, pihaknya telah menyerahkan kes tersebut kepada polis Selangor memandangkan kertas siasatan telah dibuka di negeri itu.

"Walaupun di Terengganu juga ada terima laporan berkaitan kes ini, kita tidak mahu ada pertindihan siasatan.

"Jadi, kita telah serahkan kes ini kepada polis Selangor dan akan beri kerjasama sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Dengan Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu di sini, pada Selasa.

Pada perjumpaan itu, Rohaimi turut menyampaikan sumbangan kepada 10 anggota dan pegawai polis wanita yang menghidap penyakit kronik.

Dalam pada itu, beliau berkata sembilan kes tatatertib melibatkan anggota dan pegawai polis wanita negeri ini direkodkan tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Satu daripadanya melibatkan kes narkotik manakala lapan lagi adalah kesalahan tingkah laku," katanya. - Bernama