Muhammad Haziq dikebumi petang ini

A
A

Jenazah Muhammad Haziq dikebumi petang ini

Jenazah Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian serangan ganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu, akan dikebumikan petang ini.

EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh pada sidang media hari ini, berkata Allahyarham akan dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley pada jam 6.30 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, perincian masa dan lokasi jenazah Mohd Haziq ditemui tidak boleh didedahkan kerana tertakluk dengan akta privasi New Zealand,” kata Boon Poh yang menjadi wakil Kerajaan Pulau Pinang ke Christchurch susulan tragedi Jumaat lalu itu sebelum kembali ke tanah air malam tadi.

Solat jenazah ghaib seluruh Malaysia buat Haziq esok

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib selepas sembahyang Jumaat esok.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Mujahid berkata, ia sejajar dengan berita amat mendukacitakan yang diterima hari ini berkait terkorbannya remaja Malaysia Muhammad Haziq Mohd Tarmizi di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.

Kedudukan Muhammad Haziq sebelum ini tidak dapat dipastikan dan remaja berusia 17 tahun itu dianggap tidak dapat dikesan sejak serangan berdarah oleh pengganas kulit putih berkenaan berlaku.

Bagaimanapun Muhammad Haziq disahkan meninggal dunia akibat insiden tersebut malam tadi.

Dalam kejadian pada minggu lalu itu seorang pengganas warga Australia melepaskan tembakan rambang ke arah umat Islam yang berada di Masjid al-Noor dan Pusat Islam Linwood, menyebabkan 50 terbunuh dan puluhan yang lain cedera.

Mahkamah Rayuan tolak tiga daripada empat rayuan Najib

Mahkamah Rayuan hari ini menolak tiga daripada empat rayuan yang dikemukakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara-perkara interlokutori dalam pertuduhan jenayah yang dihadapinya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Rayuan-rayuan itu termasuk permohonan Najib untuk mendapatkan perintah menghalang media dan orang awam daripada membincangkan merit kes jenayah yang dipertuduhkan terhadapnya.

Dua lagi rayuan ialah mengenai akses kepada dokumen-dokumen siasatan termasuk keterangan-keterangan saksi pada peringkat praperbicaraan dan terhadap tindakan Peguam Negara Tommy Thomas hendak menarik balik sijil pemindahan tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib berhubung dana SRC International, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Lapangan terbang Kulim 100% dibiayai swasta: Azmin

Putrajaya tidak akan menanggung kos pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, sebaliknya pembiayaannya akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memerlukan penglibatan aktif pihak swasta dalam keadaan ekonomi negara sekarang.

Kata beliau, kapasiti semakin meningkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, untuk memperbesarkan lapangan terbang itu agak terhad kerana tidak ada lagi kawasan sesuai untuk permintaan industri.

Jadi katanya, keperluan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim ini bagi menarik pelabur-pelabur ke Koridor Utara.

Azmin turut memberi jaminan, pembinaan lapangan terbang itu tidak akan memberi impak negatif kepada Pulau Pinang, sebaliknya kedua-dua lapangan terbang itu melengkapi antara satu sama lain.

Exco Kelantan ajak wanita bukan Islam pakai tudung, sertai kempen Christchurch

Exco Kelantan mengajak semua wanita termasuk bukan Islam di negeri itu memakai tudung esok sempena kempen hijab berikutan tragedi Christchurch.

Merujuk kempen Facebook “Scarves in Solidarity” susulan tragedi di dua masjid di New Zealand, Mumtaz Md Nawi berkata mereka dicadang memakai tudung putih, lapor Harakahdaily.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri menganggap kempen berkenaan sebagai solidariti terhadap mangsa tembakan.

Kempen tersebut dimulakan Dr Thaya Ashman, berpengalaman dalam misi sukarelawan di Afghanistan, dengan slogan #headscarfforharmony sebagai tanda simpati.