PKR tolak saranan Najib guna wang rakyat selamatkan Sapura

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggesa kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB) yang kini berdepan risiko muflis melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Khazanah Nasional (Khazanah).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Najib memberi alasan rakyat yang memiliki institusi seperti Petronas atau Khazanah akan kerugian besar jika SEB tidak diselamatkan.

Menurutnya, ini termasuk kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM4 bilion dan Maybank (RM10 bilion) selain 10,000 orang kehilangan pekerjaan.

“Selepas kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.

“Rekod pentadbiran UMNO dan BN, terutamanya semasa Najib menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila UMNO dan BN merasakan mereka kuat dan tidak tercabar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata, kerajaan perlu segera membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, tidak adil untuk membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan.

Lebih-lebih lagi katanya, apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion ringgit telah pun disuntik ke dalam SEB sejak lebih sedekad lalu.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, SEB terus mengalami masalah kewangan ketika harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik).

“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” jelasnya.

Rafizi berkata, selepas ini, beliau akan terus memantau isu itu dan membentangkan angka-angka untuk mengingatkan rakyat agar jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi Najib.

“Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.

“Sekembalinya saya ke arena politik, Insya-ALLAH setiap idea songsang Najib akan menerima maklum balas daripada saya,” tegasnya.

-