Tanam ganja di Selangor mengarut, kata Adun Ayer Tawar

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail membidas cadangan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan untuk penanaman ganja di negeri ini bagi tujuan perubatan.

Menurut beliau, kerajaan negeri sepatutnya menitikberatkan aspek-aspek lain yang lebih penting demi kesejahteraan rakyat yang pada masa kini dibelenggu pelbagai isu dan bukannya memfokuskan untuk melaksanakan penanaman ganja.

Beliau berkata, penanaman ganja di Selangor masih belum bersesuaian berikutan ia akan memberi kemudaratan sekiranya pelaksanaan itu tidak dapat dikawal dengan sebaiknya.

"Saya kira cadangan ini mengarut dan sepatutnya kerajaan negeri fokus tentang nasib rakyat pada masa kini yang dipalit isu harga barang naik, ekonomi merudum dan sebagainya.

"Ini menunjukkan kerajaan PH tidak memahami kehendak rakyat pada masa kini," katanya yang mengulas cadangan ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli yang meminta Kerajaan Selangor mempertimbangkan penanaman ganja di negeri ini bagi tujuan perubatan.

Menerusi cadangannya, Mohd Shaid turut berkata penanaman tumbuhan ini juga dapat memberi pulangan lumayan serta menjana ekonomi kerajaan negeri pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Rizam yang juga merupakan ADUN Sungai Ayer Tawar memaklumkan bahawa terdapat banyak langkah lain bagi meningkatkan ekonomi Selangor antaranya seperti menarik pelaburan luar ke negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganja: Banyak mudarat berbanding manfaat

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Cadang pertimbang tanaman ganja

"Kita nak untung macam-macam cara.

"Kita boleh tarik pelabur luar dan bukan hanya tumpu kepada tanaman ganja sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Rizam berkata, kerajaan di beberapa buah negara maju mengambil pendekatan untuk mendidik pelajar-pelajar mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan penanaman ganja.

"Langkah ini adalah bagi mengelakkan ia disalah guna dan Kerajaan Selangor juga perlu mengambil pendekatan sama jika berhasrat untuk melaksanakan perkara ini," katanya.

Tambahnya, cadangan itu juga perlu diperincikan dengan lebih mendalam sama ada penanaman tersebut melibatkan kanabis atau hemp.

"Biasanya untuk perubatan yang digunakan adalah hemp namun berdasarkan cadangan itu saya dengan pihak terlibat menyebut kanabis.

"Kanabis dapat membawa ketagihan dan saya nampak beliau seolah-olah tak faham antara hemp dan kanabis," katanya.