Rusia dakwa serang kedai simpan senjata roket di Kiev

Sebuah pusat beli-belah rosak teruk akibat serangan misil tentera Rusia di Kiev pada Ahad. - Foto AFP
Sebuah pusat beli-belah rosak teruk akibat serangan misil tentera Rusia di Kiev pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A
MOSCOW - Rusia mendakwa pada Isnin bahawa sebuah kedai di pusat beli-belah di ibu negara Ukraine, Kiev yang diserang dan dimusnahkan pada Ahad sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh telah digunakan sebagai tempat penyimpanan senjata roket.

Rusia menggunakan misil panduan tepat jarak jauh untuk memusnahkan kedai terbabit yang didakwa menyimpan sistem senjata roket dan peluru di sebuah pusat membeli-belah di Kiev, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov kepada media.

Ketika menunjukkan imej rakaman udara pengeboman itu, beliau menuduh Ukraine terus menggunakan infrastruktur awam sebagai perisai bagi menyimpan sistem artileri dan roket yang digunakan untuk menyerang tentera Rusia.

Sebuah dataran berhampiran pusat membeli-belah itu pula digunakan untuk menyimpan dan memasukkan semula peluru untuk sistem peluru berpandu, kata Konashenkov.

Beliau juga menunjukkan imej letupan besar pada waktu malam dari bumbung bangunan tersebut.

Akibat serangan itu, bangunan 10 tingkat tersebut digegarkan dengan letupan kuat yang menyebabkan ia turut musnah bersama sejumlah kenderaan di tempat letak kereta dan meninggalkan kawah selebar beberapa meter.

Pada waktu malam, wartawan AFP menyatakan letupan besar menggegarkan bandar dan kebakaran dapat dilihat di pusat beli-belah itu.

Konashenkov menyatakan bahawa rakaman udara tentera Rusia adalah bukti mutlak penggunaan jenayah oleh rejim nasionalis terhadap bangunan awam di Kiev. - Agensi

Artikel Berkaitan: