Cadang Speaker bukan ahli politik

Ahmad (tiga, kanan) bersama Mohammad Redzuan (tiga, kiri) bergambar bersama peserta bengkel.
Ahmad (tiga, kanan) bersama Mohammad Redzuan (tiga, kiri) bergambar bersama peserta bengkel.
A
A
A

ALOR SETAR - Speaker DUN Kedah, Datuk Ahmad Kasim mencadangkan supaya jawatan Speaker peringkat Parlimen mahupun DUN dilantik dari kalangan bukan ahli politik, sebaliknya individu berkecuali dan bebas.

Menurut beliau, institusi berkenaan seharusnya bebas dari mana-mana pengaruh parti politik agar dapat mengendalikan Dewan secara lebih adil dan telus.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman negara, jawatan itu diisi oleh ahli politik yang menyokong kerajaan pemerintah.

“Mungkin untuk realisasikan idea itu agak sukar kerana tidak pernah dilakukan sebelum ini. Apa salahnya kemukakan idea ini, ramai yang layak untuk dilantik seperti bekas hakim atau bekas ahli akademik,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Bengkel Penyelidik Efektif DUN Kedah.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif yang juga Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ahmad berkata, individu yang dilantik harus mampu menangani karenah ahli Dewan dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Manakala Mohammad Redzuan berkata, konsep itu dilaksanakan di Parlimen United Kingdom dan hasilnya persidangan dan perbahasan wakil rakyatnya lebih berkualiti.

“Jika pemerintah dan pembangkang boleh menerima sesiapa sahaja dilantik sebagai Speaker, ini sesuatu yang baik namun perlukan sedikit masa. Jika kita mampu transformasikan pilihan raya daripada PRU14 yang bersifat tegang dan emosi, kepada lebih tenang pada enam PRK yang berlangsung, saya percaya perubahan itu boleh diterima,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat mahupun wakil rakyat semakin matang dan memahami amalan demokrasi dan sebarang perubahan yang positif pasti dapat diterima dengan baik.

“Saya andaikan DUN lebih mudah kerana jumlahnya tidak ramai, namun segala perubahan perlukan proses dan masa, rakyat mahupun ADUN sudah matang dan boleh terima perkara seperti ini,” katanya.

Mohammad Redzuan berkata, Parlimen Malaysia dianggap matang kerana telah wujud lebih 60 tahun, namun masih dicemari dengan elemen tidak sopan, seperti menjerit, mencaci, ucapan dangkal serta emosional.

“Sepatutnya perbahasan juga bersikap matang, yang disuburkan dengan adab di dalam Dewan serta penggunaan bahasa tertib yang mencerminkan status kepemimpinan. Ini kerana Parlimen/DUN adalah badan tertinggi pembuat dasar,” katanya.

Menurutnya, Malaysia Baharu tidak seharusnya menerima budaya berbahasa sedemikian, sebaliknya membina komunikasi politik melalui wacana yang sopan.

“Pandangan dilontarkan dalam Dewan seharusnya bernas dan berfakta, dan perlukan penyelidikan, bukan sekadar gambaran atau andaian.

"Apa yang dibincangkan menjadi landasan untuk pembuat dasar menerusi penyelidikan efektif yang melahirkan perbahasan berkualiti,” katanya.