BWF gantung Persson 18 bulan

No Image Caption
A
A
A

BEKAS pemain nombor enam dunia, Joachim Persson digantung 18 bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas pemain Denmark itu didapati melanggar Kod Tatatertib Berkaitan Pertaruhan dan Menentukan Keputusan Perlawanan badan induk itu.

BWF dalam kenyataan hari ini, berkata, pemain berusia 35 tahun itu juga didenda US$4,500 (kira-kira RM18,625) selepas didapati bersalah terhadap empat kesalahan oleh Panel Etika Pendengaran BWF.

Kesalahan itu ialah gagal mendedahkan butiran mengenai pembabitannya dalam mengatur perlawanan, tidak memberi kerjasama penuh terhadap siasatan dijalankan BWF, dan tidak mendedahkan sepenuhnya maklumat kepada BWF setelah permohonan rasmi dibuat berhubung perkara itu, kata BWF.

Panel berkenaan yang dipengerusikan James Kitching, dan dibantu dua anggota - Kevin Carpenter dan Annabel Pennefather membuat keputusan tersebut dalam satu mesyuarat pada Isnin lepas.

Tahun lepas, dua pemain perseorangan profesional Malaysia - Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, masing-masing digantung oleh BWF selama 20 dan 15 tahun, daripada terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton kerana terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Hukuman penggantungan itu bukan sahaja melibatkan pertandingan tetapi meliputi bidang kejurulatihan, pembangunan, selain tidak dibenarkan terlibat dalam bidang pengurusan dan juga merasmikan sebarang program melibatkan badminton. - Bernama

Artikel Berkaitan: