Reka bentuk moden, harga mampu milik

Ilustrasi rumah teres setingkat dengan reka bentuk moden yang bakal dibina di Desa Arkosa
Ilustrasi rumah teres setingkat dengan reka bentuk moden yang bakal dibina di Desa Arkosa
A
A
A

KUANTAN- Syarikat pemaju perumahan, Mastercraft Venture Sdn Bhd (Mastercraft) bakal membina kira-kira 300 unit rumah berkonsepkan reka bentuk moden pada harga yang sangat kompetitif dan mampu milik melalui projek perumahan Desa Arkosa di Mukim Beserah di sini.

Desa Arkosa yang akan dibangunkan melalui kerjasama syarikat pemaju tempatan, Chee Lean Construction Sdn Bhd (Chee Lean ) itu terletak di tapak seluas 21 ekar di Jalan Pintasan Kuantan bersebelahan Taman Datuk Rashid, di sini bakal memberi peluang kepada orang ramai memiliki kediaman sendiri dalam persekitaran perumahan moden.

Melalui reka bentuk rumahnya yang moden dan bergaya selain pelbagai ciri-ciri menarik lain yang ditawarkan, Desa Arkosa bakal mengubah landskap kawasan itu menjadi sebuah kawasan perumahan impian ramai di daerah ini.

Lokasinya hanya 10 minit ke pusat bandar Kuantan dan tidak jauh dari pusat pentadbiran baharu di Kotasas, Indera Mahkota selain akses terus melalui Jalan Pintasan Kuantan menjadikan perumahan ini begitu strategik.

Pertukaran dokumen perjanjian yang ditandatangani antara Mastercraft diwakili Datuk Willy Lim (dua dari kiri) dan Alex Wong (kiri) dengan Datuk How Chee Lean (dua dari kanan) serta Datin Tan Hong Lan mewalili Chee Lean pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama pembangunan Desa Arkosa pada Isnin.
Pertukaran dokumen perjanjian yang ditandatangani antara Mastercraft diwakili Datuk Willy Lim (dua dari kiri) dan Alex Wong (kiri) dengan Datuk How Chee Lean (dua dari kanan) serta Datin Tan Hong Lan mewalili Chee Lean pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama pembangunan Desa Arkosa pada Isnin.

Pada masa sama ia dibangunkan di kawasan bebas banjir dan berstatus pegangan bebas sekali gus bakal memberi satu pilihan kepada pembeli untuk menikmati persekitaran kehidupan dengan lebih selesa dan tenang selain berpotensi sebagai pelaburan.

Pengarah Urusan Mastercraft, Datuk Willy Lim berkata, pembangunan kediaman bercampur melibatkan unit rumah jenis teres setingkat dan dua tingkat itu akan dibangunkan secara berperingkat melalui lima fasa dengan fasa pertama dijangka akan dilancarkan bermula pada suku keempat tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kediaman yang akan dibina melibatkan rumah jenis teres setingkat dengan keluasan tanah 20 kaki x 70 kaki manakala keluasan binaan 1,000 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi pada anggaran harga bermula dari RM270,000.

“Bagi rumah teres dua tingkat, keluasan tanah 20 kaki x 70 kaki dengan luas binaannya 1,800 kaki persegi dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik mandi dengan anggaran harga bermula dari RM380,000,”katanya.

Ilustrasi rumah teres dua tingkat dengan reka bentuk moden yang bakal dibina di Desa Arkosa.
Ilustrasi rumah teres dua tingkat dengan reka bentuk moden yang bakal dibina di Desa Arkosa.

Datuk Willy Lim berkata, selain menawarkan reka bentuk rumah yang terkini, pembinaan rumah untuk projek itu juga mempunyai standard tinggi dan berkualiti termasuk dalam aspek bahan binaan yang menggunakan batu bata merah selain jubin pada lantai dan tandas.

“Tawaran pemilikan kediaman melalui projek ini satu peluang keemasan kerana harga rumah untuk fasa pertamanya lebih rendah daripada harga pasaran,”katanya.

Sementara itu katanya, Mastercraft mempunyai pasukan profesional untuk reka bentuk dalaman projek perumahan tersebut dengan konsep tersediri yang bakal menyerlahkan lagi ciri-ciri unik dan menarik di Desa Arkosa.

Beliau berkata, sasaran bagi setiap fasa pembinaan projek Desa Arkosa antara 50 hingga 80 unit rumah dalam tempoh dua tahun.

“Fasa awal pembinaannya melibatkan pembinaan rumah teres setingkat dengan sasaran disiapkan menjelang tahun 2025 manakala fasa ketiga dan seterusnya bagi pembinaan rumah teres dua tingkat,”katanya.

Dari kiri- Datuk How Chee Lean, Datin Tan Hong Lan, Datuk Willy Lim dan Alex Wong menunjukkan paparan gambaran reka bentuk kediaman antara projek yang dibangunkan Mastercraft.
Dari kiri- Datuk How Chee Lean, Datin Tan Hong Lan, Datuk Willy Lim dan Alex Wong menunjukkan paparan gambaran reka bentuk kediaman antara projek yang dibangunkan Mastercraft.

Sementara itu katanya, sebagai sebuah syarikat berpengalaman selama 20 tahun dalam pelbagai bidang termasuk reka bentuk dalaman dan pembinaan, Mastercraft beralih kepada pembangunan kediaman dan komersial sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa projek di Banting, Selangor dan Ipoh, Perak.

Menurutnya, projek terbaharu itu adalah yang pertama di Kuantan melalui kerjasama dengan Chee Lean selaku pemilik tanah selain dilantik sebagai kontraktor kerja tanah untuk projek tersebut.

Beliau berkata, pemilihan Kuantan untuk projek Desa Arkosa sebagai salah satu strategi masa depan syarikat selain mengambil kira potensi pembangunannya yang pesat.

“Kami jangkakan permintaan terhadap perumahan dan hartanah hartanah di Kuantan mempunyai potensi yang besar meningkat didorong perkembangan pesat sektor industri khususnya di Gebeng dan Taman Perindustian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

Ilustrasi reka bentuk dalaman sentuhan professional dengan konsep tersediri yang bakal menyerlahkan ciri-ciri unik dan menarik di Desa Arkosa.
Ilustrasi reka bentuk dalaman sentuhan professional dengan konsep tersediri yang bakal menyerlahkan ciri-ciri unik dan menarik di Desa Arkosa.

“Mastercraft memiliki pensijilan Sistem pengurusan Kualiti (ISO) dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) selain merupakan Kontraktor Kelas G7 yang berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),”katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Chee Lean, Datuk How Chee Lean berkata, syarikatnya ditubuhkan sejak 1992 berkembang dari sebuah syarikat pembinaan kerja tanah kepada sebuah syarikat pembangunan hartanah pada 2004.

Menurutnya, Chee Lean fokus kepada membina rumah berkualiti tinggi dan mampu milik untuk penduduk tempatan dalam persekitaran yang selamat selain bangunan komersial di Kuantan dan Rompin.

“Melalui kerjasama bersama Mastercraft untuk projek Desa Arkosa ini, kita yakin ia mampu mengubah landskap kediaman di daerah ini melalui reka bentuk lebih moden hasil kepakaran dan pengalaman syarikat itu,”katanya.