Gali telaga tiub tampung bekalan air

Mohd Zamri (kanan) ketika turun padang bersama JMG melakukan kajian awalan untuk menentukan tapak penggerudian telaga tiub di Tupah.
Mohd Zamri (kanan) ketika turun padang bersama JMG melakukan kajian awalan untuk menentukan tapak penggerudian telaga tiub di Tupah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengambil inisiatif menggali telaga tiub bawah tanah di Tupah bagi menampung masalah kekurangan bekalan air di kawasan terjejas sekitar Merbok dan Tanjung Dawai.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga, Zamri Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) merancang untuk menggali enam buah telaga bagi memenuhi keperluan pengguna.

Menurutnya, setakat ini, sebuah daripada dua telaga tiub terbabit hampir siap dibina di Tupah dan mampu membekalkan setengah juta liter air sehari (MLD) atau menampung keperluan 800 akaun penduduk.

“Kita dalam proses mengenal pasti lokasi pembinaan telaga tiub di Merbok. Kerja menggali telaga hingga kedalaman 100 meter mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu, sebelum pemasangan paip dilakukan,” katanya, pada sidang media, di Wisma Darul Aman.

Zamri berkata, pembinaan dua telaga tiub itu dijangka mampu meningkatkan bekalan air sekitar daerah terjejas ekoran mampu menghasilkan sehingga satu juta liter padu air mentah sehari.

“Dua telaga itu mampu menyalurkan air kepada 800 pengguna, kita perlukan empat telaga lagi bagi memenuhi keperluan 1,600 akaun yang terjejas untuk atasi bekalan di Tupah dan Merbok,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan kawasan yang terjejas teruk adalah akibat tekanan air rendah, melibatkan sebanyak 5,000 akaun pengguna, iaitu 40 peratus daripada 14,000 akaun.

“Ia berpunca dari Loji Air Tupah yang sebelum ini mampu bekalkan 20 MLD bekalan air, kini hanya 7.5 MLD manakala Loji Air Merbok pula susut daripada 3 MLD kepada 0.8 MLD sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zamri berkata, setakat semalam, telaga tiub bawah tanah itu selesai digali pada kedalaman 50 meter dan penggalian akan diteruskan sehingga 100 meter kedalaman bagi mendapatkan air berkualiti.

“Kerajaan negeri menerusi SADA turut menyediakan 39 buah lori air daripada pelbagai sumber termasuk sewa lori tambahan. Langkah lain termasuk memasang Loji Rawatan Air Bergerak di Tupah, berkapasiti lima meter padu air sejam,” katanya.

Menurutnya, penduduk di kawsan terjejas diminta bersabar dan tidak mengambil bekalan air secara berlebihan agar dapat dibahagikan sama rata kepada pengguna lain.

“Kita berdepan musim kemarau menyebabkan kuantiti air mentah di kawasan tadahan Gunung Jerai berkurangan sehingga jejaskan operasi Loji Tupah, Loji Merbok dan Loji Gurun. Penyusutan kapasiti pengeluaran sekitar 50 peratus, menyebabkan gangguan bekalan air yang kritikal di kawasan tinggi dan penghujung sistem,” katanya.

Kawasan yang terjejas teruk adalah Merbok, Tanjung Dawai, Semeling, Singkir dan Gurun membabitkan hampir 5,000 akaun.