Tampung belanja sambut Ramadan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai menyambut baik Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan dibayar kepada 8.6 juta penerima mulai 28 Mac ini melibatkan peruntukan berjumlah RM2 bilion.

Suri rumah, Rosni Osman, 56 berkata, inisiatif BKM itu sememangnya bantuan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat terutamanya bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Tidak kira sama ada ia dibayar pada bulan puasa atau sebelum puasa yang pasti wang ini akan digunakan untuk menyara keperluan keluarga.“Saya yakin rakyat akan menggunakan bantuan ini dengan bijaksana dan tidak salah sekiranya ada lebihan wang ini boleh digunakan sebagai persediaan menyambut Ramadan atau hari raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, penyelia tapak, Mohizam Mat Husin, 40, berkata, pembayaran BKM yang akan dikreditkan beberapa hari sebelum Ramadan itu memang tepat pada masanya kerana ia dapat mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung.

“Kita pun tahu keadaan ekonomi sekarang bagaimana, jadi sedikit sebanyak BKM ini membantu mengurangkan beban kos perbelanjaan yang ditanggung oleh kami sekeluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, wartawan, Faridah Amiratul, 27, berkata, pemberian inisiatif daripada kerajaan itu dapat memberi manfaatkan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Ramai yang hilang kerja dan kenaikan harga barang juga menjadi salah satu masalah dalam kehidupan sekarang.

“Ia boleh bantu menampung peningkatan harga barangan di pasaran. Secara tidak langsung ia juga boleh guna bantuan ini untuk meringankan beban kami,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, juruteknik elektrikal, Muhammad Asyraf Mohd Anuar, 31, berkata, keprihatinan kerajaan menyampaikan BKM ini bukan sahaja membantu golongan susah tetapi juga merangsang semula ekonomi peniaga-peniaga.

“Saya akan menggunakannya sebagai persiapan puasa dan raya kerana faktor ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya di samping membantu merancakkan ekonomi peniaga peniaga kecil dan sederhana,” menurutnya.

Di samping itu, Herizal Amriz Hismat Alang, 27, yang bekerja sendiri berkata, bayaran BKM itu juga boleh digunakan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terkesan baru-baru ini.“Saya setuju bantuan ini dimanfaatkan untuk persediaan bagi menyambut Ramadan dan hari raya.

“Semua sedia maklum, Disember tahun lalu ramai yang terjejas dengan banjir. Sedikit sebanyak bantuan ini melegakan penerima yang terkesan,” katanya.