ASTAF perkenal sistem bantahan video ketiga

Pengenalan kamera ketiga diharap dapat menjadikan perlawanan berlangsung dengan lebih lancar dan efektif.
Pengenalan kamera ketiga diharap dapat menjadikan perlawanan berlangsung dengan lebih lancar dan efektif.
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) akan mula menguatkuasakan penggunaan sistem bantahan video menerusi kamera berkelajuan tinggi pada Kejohanan Dunia di Thailand Julai ini serta temasya Sukan Asia di China September depan.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, penggunaan kamera ketiga itu bertujuan mengesan sebarang kesalahan melibatkan servis yang dilakukan oleh tekong di bulatan servis selain servis yang dilakukan dari baseline bagi acara double dan kuadran.

"Penggunaan kamera ketiga ini kita akan dikuatkuasakan selepas Sukan SEA Vietnam 2021 yang dijadualkan berlangsung mulai 12 hingga 23 Mei 2022 nanti.

"Jadi diharapkan semua pihak dapat mematuhi penggunaan kamera ketiga ini kerana ASTAF sentiasa berusaha gigih untuk mempertingkatkan kualiti dan mutu pertandingan selaras dengan sukan-sukan lain di peringkat antarabangsa.

"Pematuhan terhadap penggunaan kamera ketiga ini juga penting kerana ia secara tidak langsung akan membantu melahirkan pemain-pemain sepak takraw yang berkualiti dan berkemahiran tinggi," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Abdul Halim berkata demikian bagi mengulas berhubung keputusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yang mahu melaksanakan penggunaan kamera ketiga berkenaan susulan beberapa keputusan yang sukar untuk dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berharap agar penggunaan kamera ketiga berkenaan secara tidak langsung dapat melatih dan membiasakan para pemain untuk tidak melakukan kesalahan ketika membuat servis.

Challenge yang dilakukan sebelum ini.
Challenge yang dilakukan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"ASTAF menaruh harapan tinggi agar kesemua negara ahli anggota ASTAF untuk berfikiran positif dan memandang jauh ke hadapan berhubung pembaharuan yang dilakukan ini.

"Ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meningkatkan imej ASTAF dan juga imej sukan sepak takraw itu sendiri di persada sukan dunia.

"Ini kerana dengan adanya challenge camera ketiga ini, membolehkan regu yang 'dibatalkan' boleh menafikan serta mencabar keputusan pengadil yang silap.

"Selain itu, ia juga dapat membantu regu lain untuk mendapatkan mata, sekiranya pengadil tidak membatalkan servis (kesilapan servis) yang dilakukan," jelasnya.