Edar ganja: Geng Wahid tumpas

Ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas polis susulan tertangkapnya lima lelaki.
Ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas polis susulan tertangkapnya lima lelaki.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menumpaskan Geng Wahid yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya dalam serbuan berasingan di daerah ini.

Serbuan pertama sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menyerbu sebuah rumah di Taman Medan, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, serbuan kira-kira jam 9.45 malam berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 35 hingga 40 tahun.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua suspek cuba meloloskan diri, namun tindakan mereka gagal. "Berlaku pergelutan antara suspek dengan polis ketika mereka cuba melepaskan diri.

"Pemeriksaan lanjut menemui ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 1.12 kilogram (kg) yang dibalut plastik lut sinar di dalam beg galas milik salah seorang suspek," katanya.

Beliau berkata, susulan penahanan keempat-empat suspek ini, polis telah menyerbu apartmen di Taman Dato Harun, Petaling Jaya kira-kira jam 11.45 malam.

Katanya, seorang lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai merupakan ketua bagi kumpulan ini telah dicekup dengan rampasan empat ketulan mampat daun kering disyaki ganja dianggar seberat 1.33 kg.

Tambahnya, kesemua ganja ini dianggarkan bernilai RM6,500.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zani berkata, siasatan mendapati geng ini dipercayai telah aktif sejak empat tahun lalu.

"Ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah, malah empat daripada mereka turut memiliki rekod kes lampau bersabit kes dadah," katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.