Janda diarah ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan

mahkamaha2
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang janda yang ditangkap berkhalwat dengan pasangannya berstatus duda akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, selama dua bulan.

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Janda berusia 18 tahun itu sebelum ini mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat bersama pasangannya berusia 45 tahun di sebuah hotel bajet, di Kuala Nerus.

Dia yang berasal dari Tepoh, Kuala Nerus, mengaku melakukan kesalahan berkenaan selepas bilik di sebuah hotel bajet yang disewa mereka diserbu kira-kira jam 12.15 tengah malam, pada 26 November lalu.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan berwaran dijalankan ke atas sebuah bilik hotel di Kuala Nerus dan setibanya di hadapan bilik berkenaan, didapati pintu bilik utama berkunci.

Selepas beberapa minit mengetuk pintu sambil memberi salam, pintu dibuka oleh seorang lelaki yang hanya berseluar tanpa baju sebelum pemeriksaan lanjut mendapati seorang perempuan sedang duduk di atas katil.

Siasatan mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram.

Di mahkamah sama, dua wanita termasuk seorang janda bersama lima 'teman lelaki' mereka masing-masing dikenakan denda RM2,400 atau dua minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini.

Janda, 30, dan rakannya yang juga baharu berusia 18 tahun mengaku berkhalwat selepas rumah didiami mereka bersama lima lelaki yang masing-masing berusia 20 hingga 22 tahun diserbu dalam serbuan berwaran, kira-kira jam 9.40 pagi, pada 10 Jun lalu.

Berdasarkan fakta kes, semasa serbuan dijalankan, didapati pintu utama tertutup rapat sebelum diketuk dan diberi salam beberapa kali.

Beberapa minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki dan pemeriksaan selanjutnya di dalam rumah menjumpai dua lagi lelaki sedang duduk di atas sofa serta seorang wanita yang sedang berdiri di tepi bilik.

Pemeriksaan seterusnya menjumpai seorang lagi lelaki sedang tidur di dalam bilik sebelum pemeriksaan ke atas sebuah lagi bilik yang berkunci mendapati terdapat seorang lelaki bersama seorang wanita yang sedang tidur berselimut di atas katil.

Siasatan mendapati kesemua mereka tiada hubungan suami isteri yang sah atau mahram.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Hafiz Razali.