Malaysia jangka jana RM32 juta melalui Expo 2020 Dubai

Malaysia dijangka jana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai lebih RM32 juta menerusi penyertaan Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam Expo 2020 Dubai bermula pada 20 hingga 25 Mac 2022. - Foto 123RF
Malaysia dijangka jana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai lebih RM32 juta menerusi penyertaan Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam Expo 2020 Dubai bermula pada 20 hingga 25 Mac 2022. - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA dijangka menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai lebih RM32 juta menerusi penyertaan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam Expo 2020 Dubai bermula pada 20 hingga 25 Mac 2022.

KASA dalam kenyataan memaklumkan, Expo tersebut merupakan platform untuk KASA mempromosikan perkhidmatan air negara di pasaran global dan menarik pelaburan strategik daripada penggiat industri perkhidmatan air antarabangsa ke arah menjamin kelestarian sektor air Malaysia.

Tambahnya, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa juga berjaya diperkukuh dengan penyertaan Malaysia sepanjang ekspo itu berlangsung.

“Ini melalui syarikat-syarikat yang turut serta pada minggu ke-25 iaitu Intelligent Aqua Sdn Bhd (RM10 juta); Potaglas Malaysia Sdn Bhd (RM10 juta); Pipeco Tanks Sdn Bhd (RM10 juta); PTS Tech Solution Sdn Bhd (RM1.5 juta); Rivil Sdn Bhd (RM606,000); Watermarks Certification (Malaysia) Sdn Bhd (RM200,000) dan Anqas Certification Sdn Bhd (RM100,000).

“Dana tersebut akan dijana melalui program kerjasama dan kolaborasi antarabangsa, aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk (R&D), serta Memorandum Persefahaman (MoU),” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Mengulas lanjut, KASA berkata, pihaknya menjadi hos Pavilion Malaysia Expo 2020 Dubai dengan tema ‘Air’ dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman di Amphitheatre, Pavilion Malaysia, hari ini.

Dalam kenyataan itu juga memaklumkan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengatur pelbagai inisiatif dalam memperkasakan sektor air negara melalui pelbagai program.

Antaranya, Water Demand Management Strategies Forum pada 21 Mac 2022 jam 2 hingga 3.15 petang yang mengupas berkaitan pengurusan permintaan bekalan air, khususnya situasi perkhidmatan air di Malaysia, program mitigasi bagi memastikan kelestarian air serta sesi perkongsian idea dan strategi pengurusan permintaan bekalan air.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) dan Mesyuarat Dua Hala Malaysia – Belanda akan ditandatangani pada 22 Mac 2022 bertujuan untuk membina landasan bagi peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan.

“Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menandatangani MoU bersama KWR Water Research Institute of The Netherlands (KWR).

“Sesi Padanan Perniagaan anjuran Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) yang akan berlangsung pada 22 hingga 23 Mac 2022 bagi tujuan jalinan kerjasama serta potensi perdagangan antara Malaysia dan peserta antarabangsa.

“Lawatan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman ke Loji Penyahgaraman DEWA Jebel Ali Desalination Complex yang dijadualkan pada 23 Mac 2022 bagi melihat proses penghasilan air minuman daripada air laut untuk penduduk Dubai.

“Pocket Talks mengenai perkongsian teknologi baharu dan produk-produk berkaitan perkhidmatan air akan diadakan pada 24 Mac 2022 di Multi Function Room, Pavilion Malaysia bermula jam 10.00 pagi hingga 3 petang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, program KASA di Pavilion Malaysia itu boleh ditonton secara langsung melalui laman Facebook KASA dan SPAN atau layari www.malaysiaexpo2020.com.