NGO sambut baik cadangan tanam ganja

Harish Kumar
Harish Kumar
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan supaya Kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk melaksanakan penanaman ganja bagi tujuan perubatan di negeri ini mendapat reaksi positif pertubuhan dari badan bukan kerajaan (NGO).

Setiausaha Persatuan Kesedaran Malaysia atau Malaysia Society of Awareness (MASA), Harish Kumar Thanabalan berkata, Selangor sesuai bagi penanaman ganja berbanding negeri lain atas faktor cuacanya.

Bagaimanapun, katanya jika cadangan itu mendapat kelulusan menteri kesihatan, buat permulaan penanaman perlu dibuat untuk tujuan kajian terlebih dahulu.

“Cadangan ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli itu satu idea yang bagus, Selangor juga sesuai untuk tanaman ganja kerana keadaan cuaca dan tak ada monsun.

“Peringkat permulaan tanam untuk buat kajian dulu barulah ditanam bagi digunakan tujuan perubatan dan sebagainya supaya pihak yang curiga dengan isu ini dapat lihat hasilnya dulu,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN Cadang pertimbang tanaman ganja

Mengulas berkenaan tanaman ganja yang didakwa boleh memberi pulangan besar iaitu sekitar RM9 juta setahun bagi keluasan tanah 0.4 hektar meliputi tiga kali proses penuaian, katanya kerajaan dijangka memperoleh pulangan pendapatan lebih daripada jumlah itu.

“Mungkin ADUN berkenaan buat jangkaan angka berdasarkan industri tapi sebenarnya pendapatan bakal diperoleh lebih banyak daripada itu.

“Apa pun kementerian kesihatan yang ada kuasa untuk bagi kelulusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Shaid memberitahu menerusi Akta Dadah Berbahaya 1952, telah menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Katanya, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, lokasi bagi penanaman dan pemprosesan dicadangkan dilaksanakan di satu kawasan dan ia hanya boleh diakses pihak tertentu sahaja.