Projek LTAK dibiaya sektor swasta

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK) yang dianggarkan bernilai RM1.6 bilion akan dibiayai sektor swasta, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, keadaan kewangan negara pada masa ini memerlukan penglibatan lebih aktif daripada pihak swasta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang kita memerlukan penglibatan yang lebih aktif dari pihak swasta. Kerajaan tidak mempunyai wang untuk membangunkan, tetapi pembangunan itu perlu, maka penyertaan pihak swasta amat diperlukan dalam hal ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembinaan LTAK yang menelan kos tinggi.

Katanya, projek LTAK yang merupakan antara tujuh projek dan program berimpak tinggi diluluskan kerajaan pusat di Kedah itu akan menjadi pelengkap kepada kemudahan sedia ada yang terdapat di negeri berkenaan sekali gus meningkatkan pembangunan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keinginan pihak swasta untuk membuat pelaburan bagi pembinaan dan pembesaran lapangan terbang antarabangsa di Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan peningkatan keyakinan sektor swasta terhadap kerajaan.

Beliau berkata, pelaburan menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi pembinaan LTAK dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas adalah suatu perkara yang baik.

"Sekiranya ada pihak swasta sedia melabur untuk membina kedua-dua lapangan terbang antarabangsa, saya rasa ini tidak ada masalah sebaliknya adalah sesuatu yang baik kerana boleh memangkin pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Utusan Khas Perdana Menteri ke China bagi proses rundingan semula bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lim berkata ia merupakan pemilihan yang paling tepat.

Beliau berkata, proses itu adalah suatu yang rumit dan memerlukan tumpuan sepenuhnya.

"Sepatutnya kita harus berterima kasih kepada Tun Daim kerana kalau kita nak rundingan semula tentang satu kontrak yang begitu besar dan rumit, ini kerja sepenuh masa. Untuk melibatkan saya sekiranya saya dipilih, saya mana ada masa untuk buat kerja lain,” katanya menambah Daim seorang yang berpengalaman dan berkebolehan. - Bernama