Sabah sentiasa tegas tuntut hak minyak dan gas

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan sentiasa bertegas dalam perjuangan menuntut hak berkaitan minyak dan gas yang sepatutnya dimiliki negeri itu demi kepentingan rakyatnya, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu pada Isnin.

Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, beliau tidak akan berlembut dalam soal mempertahankan kepentingan negeri bagi memastikan Sabah berhak mendapat manfaat daripada hasil buminya.

"Pasal gas, jangan risau. Saya akan keluar bilik mesyuarat (ketika rundingan) dan tumbuk meja kalau saya tidak puas hati, kerana yang penting adalah Sabah,” katanya yang juga ketua rundingan kerajaan Sabah berkaitan industri minyak dan gas dengan kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Masidi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada persidangan DUN Sabah di sini, pada Isnin.

Terdahulu Mohd Shafie bertanya sejauh mana keseriusan kerajaan Sabah dalam melindungi hak minyak dan gas di negeri itu dan apakah usaha dalam memastikan haknya dapat dikembalikan seperti dituntut menerusi rundingan bersama Petronas.

Masidi berkata, ketegasan kerajaan Sabah dalam menuntut hak berkenaan dapat dibuktikan menerusi persetujuan Petronas membangunkan kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di Sipitang yang akan dilaksanakan dalam setahun dua ini.

"Petronas sudah bersetuju membina kemudahan (LNG) terapung di SOGIP untuk memproses gas. Kerajaan negeri sudah diberi taklimat mengenai semua perancangan itu. Sudah sampai masa kita tuntut hak kita, dengan syarat kita mesti bekalkan (menyediakan) kepakaran,” katanya.

Sementara itu Masidi berkata, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama Petronas yang ditandatangani 7 Disember lepas antara lain memastikan Sabah mencapai perkongsian hasil, penyertaan dan penguasaan lebih besar dalam industri minyak dan gas secara komersial, selain mengekalkan hak perundangannya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi CCA juga katanya, negeri itu diberi peluang cukup luas dalam industri minyak dan gas melalui aktiviti huluan, hiliran serta LNG, dan senario itu menunjukkan syarikat milik kerajaan tempatan yang terlibat dalam industri minyak dan gas diberi peluang menyertai ketiga-tiga aktiviti berkenaan.

"Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya juga diberi peluang menyertai peratusan pegangan saham lebih tinggi bagi memastikan keuntungan industri minyak dan gas ini dapat memberi peluang atau hasil tinggi kepada kerajaan negeri.

"Ini seterusnya dapat dinikmati oleh rakyat melalui perancangan pembangunan negeri yang akan merancakkan aktiviti ekonomi negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas-Segama) yang ingin tahu apakah faedah kepada rakyat dan negeri serta keterangan lanjut mengenai CCA antara Sabah dan Petronas. -Bernama