'Ular sawa di tingkat 14, mungkin milik penghuni PPR'

Gambar kecil, Zabri Awang.
Gambar kecil, Zabri Awang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] Ular sawa yang menyusup masuk ke bilik dan hampir membelit seorang penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, dalam kejadian awal pagi semalam dipercayai milik salah seorang penghuni di situ.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zabri Awang berkata, beliau tidak menolak kemungkinan haiwan itu kepunyaan penghuni di perumahan itu berdasarkan maklumat awal yang diterima.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum dapat membuat sebarang pengesahan memandangkan belum ada bukti kukuh terhadap khabar angin itu.

“Kita tak boleh beri pengesahan selagi belum terbukti. Namun, berdasarkan apa yang dimaklumkan penghuni di sini, ada penghuni di tingkat 14 yang memelihara reptilia itu.

“Sekarang kita dalam proses menyiasat sama ada haiwan itu dipelihara atau dijadikan sebagai hobi oleh penghuni berkenaan dan mengenal pasti ular itu masuk dari mana sama ada melalui tingkap bilik air atau saluran najis,” katanya ketika ditemui di PPR Hiliran, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan ular itu datang dari kawasan semak berhampiran kerana kedudukan blok PPR itu berhampiran dengan kawasan semak di situ.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya terbukti reptilia itu adalah dipelihara oleh penghuni di PPR itu, katanya, pihak terbabit berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Ketika menandatangani perjanjian untuk menduduki rumah PPR ini kita telah dimaklumkan tidak boleh memelihara sebarang ternakan di sini walaupun kucing, apatah lagi haiwan liar.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kita beri kelonggaran untuk pelihara haiwan kesayangan seperti kucing, tetapi, perlu jaga persekitaran mereka daripada najis haiwan itu.

“Sekiranya melanggar etika perjanjian, pihak berwajib boleh menarik balik penempatan mereka daripada terus menetap di sini,” katanya.

Awal pagi kelmarin, seekor ular sawa nyaris membelit leher seorang remaja berusia 18 tahun ketika sedang nyenyak tidur di biliknya di tingkat 14, PPR Hiliran.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja nyaris dibelit sawa