Guru besar didakwa beri kontrak kepada isteri, adik lelaki

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang guru besar sekolah rendah di sini didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya memberi kontrak kepada isteri dan adik lelakinya membabitkan kelulusan tender pembelian alat bantu mengajar dan peralatan berjumlah RM36,466.15 pada 2017 hingga 2019.

Hussin Amid, 53, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Dia didakwa menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan meluluskan tender pembelian kepada syarikat milik isterinya, Ammy Emelia Jamal dan syarikat milik adiknya, Ahamadi Amid yang dia mempunyai kepentingan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah rendah di sini antara 10 November 2017 dan 31 Oktober 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan Hussin diikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin selain dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu di sini, setiap dua bulan sekali dan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapiee manakala tertuduh diwakili peguam Nabilah Nursahar. - Bernama

Artikel Berkaitan: