UMNO, BN tidak pernah sokong penangguhan RUU Anti Lompat Parti

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa partinya dan Barisan Nasional tidak pernah menyokong kelewatan yang berlaku terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Parlimen kali ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, kepimpinan tertinggi parti itu turut menunjukkan pendirian yang konsisten termasuk ketika Persidangan UMNO 2021 yang berlangsung baru-baru ini.

“Ucapan oleh Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) semasa empat hari Perhimpunan Agung UMNO cukup konsisten.

“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang UMNO menyokong RUU Anti Lompat Parti dan mahu melihat berakhirnya ‘koloni katak’ dan ‘pengkhianatan terhadap pengundi’,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar 18 Mac lalu memaklumkan RUU Anti Lompat Parti hanya akan dibentang di Dewan Rakyat sebaik pendapat serta input daripada semua pihak diperoleh dan sesi libat urus selesai.

Wan Junaidi turut membayangkan bahawa RUU itu berkemungkinan dibentang pada Sidang Khas Parlimen mengambil kira sidang Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada Khamis depan.

Katanya, kabinet memutuskan bahawa RUU ini masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya BN dan Perikatan Nasional (PN) yang tertangguh disebabkan bagi memberi laluan kepada PRN Johor.

Jelas Ahli Parlimen Santubong lagi, penangguhan itu juga adalah bagi memastikan pindaan RUU berkenaan mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azalina yang juga merupakan Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau kecewa dengan keputusan kabinet untuk menangguhkan pembentangan RUU tersebut.

Katanya, terdapat beberapa persoalan yang berbangkit dan perlu dijawab berkaitan dengan penangguhan tersebut.

“Pertama, komitmen untuk memperkenalkan RUU Anti Lompat Parti adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) dwi-partisan (kerajaan dan Pakatan Harapan).

“Jadi, bukankah ia bermakna sokongan akan diperolehi seperti yang dipersetujui dan diatur dalam acara yang serupa dengan kelulusan pindaan perlembagaan MA63 dengan majoriti besar mandat daripada ahli parlimen di Dewan Rakyat?

“Kedua, bukankah RUU Anti Lompat Parti dianggap sebagai jaminan wakil rakyat kepada pengundi semasa pilihan raya? Bukankah rakyat adalah pemegang kepentingan utama kita, dan bukan ahli politik itu sendiri?” soalnya.

Dalam pada tu, beliau turut berpandangan pelaksanaan undang-undang pilihan raya semula adalah jalan terbaik untuk pengundi dan kerajaan termasuk dalam usaha menyelesaikan masalah dihadapi oleh Menteri Undang-Undang dalam usaha mentakrifkan lompat parti.

“Harapan saya agar semua parti politik yang mengutamakan hak pengundi yang secara terbuka menyokong RUU Anti Lompat Parti supaya pertimbangkan Undang-Undang Pilihan Raya Semula bersuara mengenai kelewatan yang berlaku.

“Sebagai wakil rakyat, kami telah diberi mandat oleh pengundi untuk menegakkan demokrasi, dan dalam aspek ini, suara kita sepatutnya bersatu.

“Cukuplah gembar-gembur RUU Anti Lompat Parti, cukuplah berulang-alik dalam pelbagai ‘sesi libat urus’. Parlimen ialah ialah rumah rakyat, bukan tempat perlindungan katak!” tegasnya.

Pilihan raya semula atau ‘recall election’ merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti.