Serbu makmal, polis Pulau Pinang rampas dadah RM491,545

Mohd Shuhaily (kanan) bersama pegawainya sedang menunjukkan dadah dirampas dalam dua operasi dijalankan pada 17 Mac lalu.
Mohd Shuhaily (kanan) bersama pegawainya sedang menunjukkan dadah dirampas dalam dua operasi dijalankan pada 17 Mac lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket edar dadah dalam serbuan berasingan ke atas makmal memproses bahan terlarang itu dengan melibatkan nilai RM491,545.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebuah rumah dua tingkat di Seberang Perai Tengah diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 17 Mac lalu dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun.

"Rumah tersebut digeledah. Polis menjumpai 42 bungkusan dadah heroin seberat 18,540 gram bernilai RM247,230; dua ketulan heroin 'base' seberat 745 gram bernilai RM96,180; sebungkus dadah syabu (895 gram) bernilai RM32,220, sebungkus serbuk kafein seberat 16,275 gram bernilai RM5,530 dan peralatan serta bahan kimia untuk memproses heroin.

"Dalam operasi kedua, polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di kawasan berdekatan dan menahan seorang lelaki berusia 41 tahun, dipercayai ketua sindiket. Siasatan awal mendapati, sindiket tersebut memperoleh bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memprosesnya untuk dijual kepada pelanggan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, pada Isnin.

Menurut Mohd Shuhaily, sindiket tersebut aktif sejak Julai tahun lalu dan bekalan dadah berkenaan adalah untuk pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 190,000 orang jika terlepas ke pasaran.

"Hasil ujian saringan air kencing kedua-dua suspek adalah negatif namun mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan jenayah. Kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 24 Mac ini," katanya.

Tambah Mohd Shuhaily, polis menyita lima buah kenderaan bernilai RM259,500, barang kemas bernilai RM2,340 dan wang di dalam akaun sebanyak RM7,770 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM650,777.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam operasi berasingan, polis menyerbu sebuah rumah flat di Jelutong yang dijadikan makmal mini untuk memproses dadah jenis MDMA, pada jam 2 pagi hari sama.

Mohd Shuhaily berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah jenis serbuk MDMA; syabu; ketamin, pil ekstasi dan pil eramin 5.

"Polis merampas 85 peket dadah MDMA seberat 2,025 gram bernilai (RM101,265); satu peket syabu seberat 53.7 gram (RM5,370); empat peket ketamin seberat 16.5 gram (RM2,475), 45 biji ekstasi (RM675) dan 40 pil eramin 5 (RM600).

"Sindiket ini aktif sejak Februari lalu dan semua dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan. Dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 800 penagih jika ia terlepas ke pasaran," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily lagi, suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis Methamphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah.

"Polis masih menyiasat sama ada suspek bergerak sendirian atau mempunyai ahli lain. Dia direman sehingga 22 Mac untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily memaklumkan, Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.021 juta dan menyita harta serta wang milik pengedar dadah sebanyak RM4.096 juta sejak Januari hingga 19 Mac lalu.

"JSJN Pulau Pinang merekodkan tangkapan sebanyak 2,773 orang sejak Januari hingga 19 Mac berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 1,711 orang, dengan peningkatan 38 peratus.

"Bagi pecahan tangkapan tahun ini, kategori bekalan adalah 647 orang; memiliki(1,470 orang) dan kategori urin pula seramai 656 orang. Dalam tempoh sama, JSJN menjalankan operasi Tapis Khas dan Operasi Sarang sebanyak 12 kali dengan menumpaskan tujuh sindiket pengedaran dadah," katanya.