30,000 penduduk alami gangguan bekalan air

Xavier ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Xavier ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 30,000 penduduk di daerah Kuala Muda, Kedah mengalami gangguan bekalan air berikutan fenomena cuaca panas melampau sehingga semalam.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, cuaca kering telah menjejaskan sumber air mentah ke tiga loji rawatan air (LRA) yang membekalkan air ke kawasan terjejas, menyebabkan LRA Tupah Headwork, LRA Merbok Headwork dan LRA Gurun mengeluarkan air terawat pada kadar 50 peratus sahaja.

“Antara langkah mitigasi yang diambil oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) termasuk penghantaran air melalui lori-lori tangki yang disewa dan bantuan daripada operator-operator air dan penempatan tangki-tangki statik di kawasan strategik.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya catu air di kawasan tertentu

“Selain itu, bantuan lori ‘prime mover’ berkapasiti 5,000 gelen dari pihak bomba dan pencarian air bawah tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dr Xavier berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) bagi melaksanakan beberapa projek bekalan air seperti menaiktaraf loji rawatan air Tupah Headwork, menaiktaraf loji rawatan air Bukit Selambau dan program penggantian paip di kawasan Tanjung Dawai.

Beliau berkata, projek tersebut dijangka dapat meningkatkan kapasiti air terawat untuk diagihkan di kawasan Kuala Muda.

Sementara itu, Dr Xavier turut memberitahu gangguan bekalan air terawat juga berlaku di beberapa kawasan di Johor akibat penyusutan paras air mentah iaitu di Kota Tinggi, Pontian dan Simpang Renggam.

Artikel Berkaitan:

“Pemantauan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati paras takungan air mentah di kebanyakan empangan berada dalam keadaan terkawal.

“Empangan yang mengalami kemerosotan takungan air mentah adalah kecil iaitu tiga empangan di Johor (Empangan Lebam, Empangan Layang dan Empangan Pulai 2),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier menyarankan orang ramai menggunakan air secara berhemah semasa musim panas serta elakkan pembaziran air supaya sumber air yang ada dapat bertahan lama.

Kawasan lain yang berdepan gangguan bekalan ialah Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, dan Singkir.