Sultan Terengganu syor laksana kajian impak perang Rusia-Ukraine

Ahmad Samsuri ketika membacakan titah Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini pada Isnin.
Ahmad Samsuri ketika membacakan titah Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri disyorkan melaksanakan satu kajian impak untuk Terengganu dengan mengambil kira persekitaran global seperti unjuran ekonomi dunia dan peningkatan harga komoditi di pasaran dunia susulan sekatan ekonomi akibat serangan tentera Rusia ke atas Ukraine.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kajian impak itu termasuk kesan langsung terhadap sektor-sektor penting ekonomi negeri seperti perkhidmatan dan pelancongan apabila sempadan negara dibuka semula nanti.

Titah baginda, kajian tersebut perlu mengenal pasti bukan sahaja kesan ke atas pembangunan negeri Terengganu malah menghasilkan cadangan khusus bagi mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah yang berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

"Kedua-dua golongan ini sudah pun terkesan dan terbeban dengan harga barangan khasnya makanan yang meningkat dan kesan sampingan ke atas punca pendapatan ekoran penularan wabak Covid-19.

"Misalnya data terkini merekodkan terdapat 985 orang golongan miskin tegar dan 26,526 orang miskin di negeri Terengganu yang memerlukan perhatian dari semua pihak," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini pada Isnin.

Titah baginda dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Persidangan DUN Terengganu ke-14 diadakan selama empat hari bermula Isnin.

Sultan Mizan bertitah, penyertaan rakyat dalam demokrasi juga tidak semestinya dihadkan kepada peluang untuk memilih dalam pilihan raya yang berlaku dalam tempoh lima tahun sekali.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya titah baginda, rakyat harus mengambil bahagian secara aktif dalam membantu kerajaan yang dipilih, sama-sama memberi input dalam aspek tadbir urus, merangka dan melaksanakan dasar-dasar yang baik untuk rakyat.

"Walaupun telah melantik wakil mereka untuk berbincang dan membahaskan enakmen negeri dalam Dewan Undangan Negeri, namun dengan adanya prinsip langit terbuka, akses digital, pendedahan kepada pelbagai bentuk dan saluran maklumat serta pengetahuan tinggi rakyat tentang sesuatu isu berbangkit, maka partisipasi rakyat dalam menentukan hala tuju negeri dan negara harus ditagih.

"Dalam suasana muhibah, terhormat dan bertamadun, proses membuat dasar sudah menjadi semakin demokratik," titah baginda.

Sultan Mizan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penjawat awam yang menjadi benteng dan memainkan watak utama dalam merealisasikan dasar-dasar telah ditetapkan kerajaan.

Baginda bertitah, pengamalan sistem tadbir urus yang menjadi penanda aras, budaya kerja kelas pertama dan tahap integriti yang tinggi adalah prasyarat dalam menentukan kejayaan sesebuah pentadbiran.

"Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam perlulah sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pembangunan negeri Terengganu terus berada di landasan yang tepat," titah baginda.