Kerajaan Selangor laksana proses pemutihan PPR

Haniza menjawab soalan media ketika sidang media hari ini
Haniza menjawab soalan media ketika sidang media hari ini
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melaksanakan tindakan pemutihan di tiga lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di Kota Damansara, Kg Baru Hicom dan Serendah pada bulan lalu.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, menerusi operasi pemutihan bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) itu, tindakan pengusiran fasa pertama telah dilaksanakan terhadap 10 unit rumah di PPR Kota Damansara dan lima unit di PPR Hicom.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan ini dijalankan ke atas penyewa-penyewa tegar yang membuat bayaran secara tidak konsisten, mempunyai tunggakan sewaan, terlibat dengan aktiviti sewa atas sewa, menceroboh unit kosong serta bukan penama asal menduduki unit tersebut.

"Lebih mengejutkan, menerusi operasi itu, ada unit yang mempunyai tunggakan sewaan sehingga RM25,250 walaupun sewa bulanan yang ditetapkan hanyalah RM250 sebulan.

"Tindakan ini dijalankan selepas notis peringatan dikeluarkan secara berulang kali namun tidak diendahkan oleh penyewa terlibat," katanya ketika sidang media di Bangunan Annex hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza yang juga merupakan ADUN Lembah Jaya berkata, tindakan ini diambil bagi memberi laluan kepada pemohon yang telah lama menanti giliran serta lebih layak untuk menghuni unit-unit terbabit.

Beliau berkata, sehingga Februari lalu, PPR Kota Damansara mempunyai sebanyak 11 unit kosong, PPR Hicom 36 unit manakala PPR Serendah pula sebanyak 170 unit.

"Bagi PPR Serendah, sebahagian daripadanya sedang menjalani proses baik pulih.

Artikel Berkaitan:

"Unit kosong di PPR Kota Damansara dan Hicom juga sudah ditawarkan kepada penyewa dan sedang menunggu kemasukkan selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Haniza memaklumkan, satu Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPPT) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan ditubuhkan sebagai langkah proaktif bagi melindungi hak pembeli dengan memastikan usaha pemulihan projek terbengkalai dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, fungsi JKPPT ini adalah bagi menyediakan inventori projek terbengkalai dan bermasalah yang seragam serta bertindak sebagai penyelaras antara pemaju pelekuidasi dengan pihak berkaitan PBT.

"Saya harap dengan penubuhan jawatankuasa ini dapat membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan projek terbengkalai di Selangor," katanya.