Sita RM116.7j: Mahkamah batalkan saman UMNO

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan hari ini berjaya membatalkan saman difailkan UMNO berhubung tuntutan RM116.7 juta milik parti berkenaan yang disita oleh polis di sebuah premis di Pavilion Residences, Mei tahun lepas.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membenarkan permohonan kesemua defendan untuk membatalkan saman UMNO selaku plaintif di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy dan peguam Datuk Hariharan Tara Singh bertindak bagi pihak UMNO.

Narkunavathy ketika ditemui pemberita berkata, permohonan kesemua anak guamnya dibenarkan atas alasan saman berkenaan bersifat remeh, menyalahgunakan proses mahkamah dan bersifat melampau.

Katanya, mahkamah juga berpendapat UMNO tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) dan tiada kausa tindakan munasabah untuk memfailkan saman berkenaan.

"Oleh itu, mahkamah membatalkan saman UMNO dan memerintahkan parti tersebut membayar kos berjumlah RM7,000 kepada kesemua defendan," katanya.

Hariharan pula berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini dalam masa terdekat.

Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan atas alasan UMNO tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan saman berkenaan selain mendakwa wang yang disita masih dalam siasatan pihak polis.

UMNO melalui pegawai awamnya Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan saman pada 21 Sept 2018 dengan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R. Rajagopal, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang ketika itu Pengarah JSJK Bukit Aman, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Artikel Berkaitan:

Dalam penyataan tuntutannya, UMNO antara lain memohon perisytiharan bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan pada 17 Mei tahun lepas adalah salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak-hak parti berkenaan.

Plaintif juga memohon perintah supaya wang RM116.7 juta dan wang RM43.3 juta yang juga didakwa milik parti itu dipulangkan kepadanya selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dakwa plaintif tindakan kesemua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian. - Bernama