Empat maut termasuk seorang rentung nahas dua kenderaan

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan di sini awal pagi Isnin.
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan di sini awal pagi Isnin.
A
A
A

PENDANG - [DIKEMAS KINI] Empat individu maut dengan salah seorang daripadanya rentung dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan di sini awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihak bomba menerima panggilan melalui sistem MERS 999 pada jam 2.22 pagi mengenai kebakaran kereta akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, anggota daripada balai berhampiran diarahkan segera ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan sebuah kereta Nissan Almera yang terbakar 90 peratus.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.56 pagi dan terdapat seorang mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira berjaya dikeluarkan pada jam jam 4.07 pagi dan disusuli mangsa kedua pada jam 4.28 pagi.

"Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan pada jam 5.43 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sayani menambah, berdasarkan penilaian awal, mangsa yang rentung dipercayai lelaki, namun identitinya belum dapat dikenal pasti setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Tiga mangsa maut di dalam Proton Wira terdiri daripada dua lelaki berusia 26 dan 49 tahun, manakala seorang lagi adalah wanita berusia 52 tahun. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.05 pagi," katanya.