Melaka pantau rakyat guna laman sosial

Adly ketika menjawab soalan pada
Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Adly ketika menjawab soalan pada Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka mempunyai mekanisme tersendiri bagi memantau rakyat mahupun pengguna sosial yang melontarkan kenyataan berupa hasutan dan provokasi.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia tidak boleh dipandang ringan kerana situasi itu boleh mengundang persengketaan hubungan kaum dan ketenteraman awam termasuk dengan mengambil beberapa pendekatan bagi mengekang provokasi negatif terutama dalam kalangan netizen selain mengeluarkan garis panduan pengguna media sosial kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Katanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PERPADUAN) negeri juga akan mengesan serta melakukan pemantauan berhubung laporan-laporan yang disiarkan sama ada media cetak, internet, media sosial dan sekiranya keadaan itu berlaku, mereka akan mengumpulkan sebelum dimasukkan ke dalam sistem yang dinamakan e-Sepakat sebagai mekanisme pengesanan isu secara atas talian.

"Maklumat mengenai isu konflik dan manifestasi negatif yang berlaku di 243 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini akan disalurkan kepada agensi bertanggungjawab seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"PERPADUAN Melaka akan sentiasa bekerjasama dengan pihak pemberi perkhidmatan komunikasi dan mengenal pasti pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Adly (Amanah-Bukit Katil) ketika menjawab soalan lisan Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) mengenai tindakan kerajaan terhadap tindakan provokasi pada Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Jelas Adly, jabatan tersebut turut memperkenalkan Mediator Komuniti sebagai medium perantara atau pendamai kepada pihak-pihak yang bermasalah agar tidak berlaku sebarang ketegangan yang seterusnya boleh mewujudkan demonstrasi mahupun rusuhan.

"Setakat ini di Melaka terdapat 34 Mediator Komuniti yang terdiri dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (AJKRT) serta pegawai Perpaduan, yang mana mereka ini dilatih dengan kemahiran bagi membantu mententeramkan keadaan," katanya.

Artikel Berkaitan: