Kesatuan pekerja mohon tarikh kuat kuasa gaji minimum diwartakan

Kesatuan sekerja meminta Kementerian Sumber Manusia mewartakan dengan segera tarikh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei seperti diumumkan pada Sabtu. - Gambar hiasan
Kesatuan sekerja meminta Kementerian Sumber Manusia mewartakan dengan segera tarikh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei seperti diumumkan pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meminta Kementerian Sumber Manusia mewartakan dengan segera tarikh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei seperti diumumkan pada Sabtu.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, langkah pewartaan itu perlu agar semua majikan mematuhi keputusan kerajaan iaitu melaksanakan gaji minimum pada tarikh tersebut dan bukannya pada tarikh lain.

"UNI-MLC mengalu-alukan pengumuman terbaharu dibuat Perdana Menteri semalam namun tidak mahu pengumuman itu tinggal pengumuman. Pada masa lalu, pernah wujud situasi tarikh pengumuman mengenai pelaksanaan dan penguatkuasaan berbeza disebabkan pelbagai faktor.

"UNI-MLC tidak mahu keadaan yang sama berulang. UNI-MLC tidak mahu kerajaan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak sekali gus menangguhkan tarikh pelaksanaan dan penguatkuasaan (gaji minimum),” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini dan ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat besar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) Abdul Razak Md Hassan, ketika dihubungi Bernama pula berkata, kerajaan perlu mengawal harga barangan keperluan bagi mengelak peningkatan harga selepas pengumuman gaji minimum itu.

Beliau berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) terutama dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi namun jika harga barangan keperluan terus meningkat, kenaikan gaji minimum tidak dapat membantu golongan berkenaan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS), Ismail Ali berkata, pengumuman itu adalah berita baik yang sudah lama dinantikan kerana kebanyakan syarikat tidak berminat mengadakan perbincangan mengenainya dalam perjanjian bersama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pekerja yang terkesan akibat tiada perubahan dalam perjanjian bersama kini boleh menarik nafas lega dengan pengumuman gaji minimum itu.

"Pengumuman ini memberi sedikit kelegaan kepada pekerja yang terkesan secara langsung disebabkan tiada perubahan perjanjian bersama (untuk kenaikan gaji), dengan adanya arahan ini boleh dilaksanakan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, perincian mekanisme dan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan akan diumum tidak lama lagi.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan ialah pada 1 Feb 2020 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020. - Bernama